YASMIN (tiga dari kiri) menunjukkan  MoU yang ditandatangani bersama Pengarah Urusan Kejora Group, Andy Zain (empat dari kiri).
YASMIN (tiga dari kiri) menunjukkan MoU yang ditandatangani bersama Pengarah Urusan Kejora Group, Andy Zain (empat dari kiri).
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) optimis untuk mencapai peningkatan dalam pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan yang diluluskan tahun ini melebihi daripada RM19.8 bilion direkodkan pada 2015.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yasmin Mahmood berkata, separuh pertama tahun ini jumlah pelaburan diterima memberangsangkan dan menerusi usaha pengambilalihan dan penggabungan (M&A) pihaknya yakin dapat merancakkan lagi aliran masuk pelaburan ke Malaysia.

Katanya, MDEC mahu terus menjayakan pertumbuhan pelaburan dan membantu syarikat Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.

“Setakat ini, terdapat 3,800 syarikat berstatus MSC dan kami sentiasa mencari peluang melakukan sebanyak mungkin M&A bagi menarik FDI.

“Sasaran kami menumpukan fokus terhadap pertumbuhan ekonomi digital kebangsaan untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui di majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara MDEC dan syarikat pemodal teroka Indonesia, Kejora Group (Kejora) yang berlangsung di Jakarta.

Yasmin berkata, MDEC melangkah setapak lagi apabila menembusi pasaran Indonesia dan membawa 31 syarikat MSC Malaysia yang terpilih bagi meneroka pasaran negara itu.

Menurutnya, peluang dibuka itu dilihat sangat membantu syarikat tempatan berpotensi mengembangkan syarikat ke peringkat global.

“MDEC komited meluaskan lagi sektor teknologi dua negara yang membabitkan pasaran, keupayaan pembangunan, risiko modal serta kekangan teknologi dan perniagaan.

“Kerjasama antara MDeC dan Kejora ini langkah terbaik memastikan syarikat teknologi Malaysia memperkembangkan pasaran mereka ke peringkat serantau. Indonesia dilihat mempunyai potensi besar dalam negara ASEAN terutama dalam sektor teknologi digital,” katanya.

Beliau berkata, Kejora menyediakan jaringan terbaik kepada syarikat teknologi tempatan termasuk syarikat yang baharu bermula untuk menembusi pasaran Indonesia selain membantu berkaitan dengan model perniagaan dan sumber kewangan (pelabur).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 7:21 AM