Satu demi satu cerita tak sedap sampai ke telinga Cik Pang mengenai pelakon lelaki sedang mencipta nama, Hafidz Roshdi.

Sebelum ini lagi Cik Pang sudah beberapa kali menegur sikapnya yang tidak menghormati masa orang lain.

Terbaru, sewaktu menghadiri majlis perasmian pementasan teater Lela Manja, pelakon itu dikhabarkan buat perangai lagi dan didakwa bersikap dingin.

Bukan itu saja, dia turut dilihat menjeling seperti tidak puas hati dengan beberapa teman media yang hadir.

Teman Cik Pang yang berada di lokasi sama sudah tentulah pelik dengan sikapnya itu. Tapi selepas dirisik, rupa-rupanya Hafidz bersikap begitu kerana dia ada rasa tidak berpuas hati dengan beberapa rakan wartawan yang hadir.

Bila dia bersikap begitu, teman media mulalah mengungkit perangainya yang pernah ditunjukkan sebelum ini, seperti bersikap acuh tak acuh apabila diajukan soalan.

Disebabkan aura negatif ditunjukkan Hafidz, rakan media yang hadir mengambil keputusan untuk tidak mempedulikannya sepanjang sidang media itu.

Lebih menyebabkan teman media berasa kecewa apabila pembabitannya dalam pementasan teater Lela Manja langsung tidak beri kesan. Lakonannya kelihatan keras dan kaku di atas pentas.

Kata mereka, kalau mahu bersikap dingin tetapi persembahan lakonan cukup memberangsangkan mereka boleh lagi terima, tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

Perkara itu membuatkan lagilah teman media yang hadir berasa tidak kuasa untuk melayan aktor muda itu.

Ada juga yang memberikan komen, Hafidz tidak sepatutnya memegang watak Raja Muda dalam pementasan Lela Manja. Watak itu lebih sesuai diberikan kepada calon lain yang lebih baik.

Bab lakonan, Cik Pang tak nak tegur lebih-lebih sebab pengarah dan penerbit ada alasan sendiri untuk mengambilnya membintangi Lela Manja.

Apa sekalipun, Cik Pang mengharapkan teguran ini diambil positif oleh Hafidz dan cuba mengubah sikap buruknya. Paling penting tidak perlulah hendak bersikap dingin dengan wakil media. Kelak nanti siapa yang rugi sebab teman media memang tidak rugi apa-apa pun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 6:36 AM