FIFI Nurfatin (tengah) menunjukkan slip keputusan SPM sambil ditemani ibu bapanya. FOTO Muhamad Lokman Khairi
FIFI Nurfatin (tengah) menunjukkan slip keputusan SPM sambil ditemani ibu bapanya. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Tapah: Bangun seawal 4.30 pagi untuk ulang kaji pelajaran menjadi petua pelajar Orang Asli Semai, Fifi Nurfatin Marjaidi Hirwan memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hari ini.

Fifi Nurfatin, 18, dari Sekolah Menengah Sains Tapah berkata, dia sebenarnya tidak menyangka pencapaian sebaik itu kerana hanya memperoleh 3A pada peperiksaan percubaan SPM sebelum ini.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, kejayaan manis itu amat berbaloi selepas dia berjauhan daripada ibu bapa, Noorhayati Alang, 40 dan Marjaidi Hirwan Sinak, 40 selama lima tahun kerana tinggal di asrama.

"Ayah selalu mengingatkan saya supaya tidak tinggalkan solat, manakala ibu berpesan tidak bandingkan diri dengan orang lain.

"Tempoh beberapa bulan sebelum peperiksaan SPM lalu saya cabar diri dengan lipat gandakan usaha untuk pastikan keputusan SPM ini boleh membanggakan mereka.

"Akhirnya, penat lelah itu membuahkan hasil dengan senyuman dan tangisan kegembiraan ketika kami ambil keputusan di sekolah pagi tadi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Genting, dekat Chenderiang, di sini, hari ini.

Berkongsi petua kejayaannya, Fifi Nurfatin berkata, dia gemar bangun seawal 4.30 pagi untuk mengulang kaji pelajaran selain memperbanyakkan latihan pada sebelah petang dan malam.

"Saya juga belajar ketepikan rasa malu untuk berjumpa dan bertanya kepada guru sekiranya kurang faham sesuatu topik.

"Saya berharap kejayaan ini boleh menjadi motivasi kepada pelajar Orang Asli yang lain untuk cemerlang dalam pelajaran," katanya.

Menurutnya, dia berhasrat melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan bercita-cita menjadi guru kerana minat mendalam pada kerjaya itu sejak kecil serta terinspirasi daripada ibu saudaranya yang juga berkhidmat sebagai guru.

Sementara itu, Marjaidi Hirwan berkata, dia dan isteri menganggap kejayaan Fifi Nurfatin sebagai kebanggaan keluarga dan contoh kepada adik-adiknya.

Dia yang bekerja sebagai tukang kebun sekolah turut berterima kasih kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang memperuntukkan biasiswa tahunan untuk pembiayaan persekolahan anak sulungnya itu.

"Ketika diberitahu Fifi Nurfatin peroleh 9A, saya dan isteri tak dapat menahan air mata kegembiraan," katanya.

Fifi Nurfatin memperoleh A+ bagi subjek Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik, gred A bagi Bahasa Inggeris, Fizik dan Kimia serta A- bagi subjek Matematik Tambahan dan Biologi.

Dia adalah satu-satunya calon Orang Asli di Perak yang meraih semua A dalam mata pelajaran daripada keseluruhan 543 calon.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 9:49 PM