GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Petani, penternak dan pengusaha akuakultur perlu berdaftar dengan Sistem Pendaftaran GeoAgro, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mendapatkan bantuan tunai subsidi diesel melalui Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) di bawah kategori Budi Agri-Komoditi.

KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang layak, boleh mendaftar dengan Sistem Pendaftaran GeoAgro berkenaan di pautan https://geoagroregister.kpkm.gov.my sebelum membuat permohonan di Portal Budi Madani di pautan https://budimadani.gov.my.

Menurut kenyataan itu pada masa sama, subsidi dan insentif sedia ada kepada golongan nelayan dan pesawah akan terus dikekalkan.

"Bagi nelayan, kerajaan akan terus memberikan subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter kepada kategori pemilik vesel perikanan Zon A, B dan C, tertakluk kepada kuota yang ditetapkan.

"Sebagai tambahan, Kerajaan juga bersetuju menambah baik kadar sedia ada bagi insentif pembajakan iaitu daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim dan memperkenalkan insentif penuaian pada kadar RM50 per hektar per musim.

"Menerusi kenaikan kadar ini, pesawah terbabit akan menerima bayaran insentif pembajakan dan insentif penuaian sebanyak RM210 per hektar per musim," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan selain daripada bantuan tunai kepada pengusaha sektor pertanian, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut membantu syarikat sektor pertanian dengan pemberian 'fleet card' diesel bersubsidi kepada kenderaan pengangkutan yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0.

Ini termasuklah lori rigid hasil pertanian dan lori rigid kandang haiwan dan permohonan perlu dibuat melalui Sistem MySubsidi Diesel di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.

Terdahulu hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan pelaksanaan Budi Madani susulan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel, di Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, bagi membantu menstabilkan kos operasi sektor pertanian, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 di bawah inisiatif Budi Agri-Komoditi kepada petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Sebarang pertanyaan berkenaan bantuan tunai subsidi diesel sektor pertanian boleh diajukan kepada Bilik Gerakan KPKM di talian 03-8870 1207 / 1147, bermula 8.30 pagi sehingga 5.30 petang pada hari bekerja atau emel kepada [email protected].

Pemohon juga boleh hadir ke jabatan atau agensi KPKM yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat pengisian borang permohonan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 10:17 PM