MERCEDES-AMG C 63 S Coupe dijana enjin V8 berkuasa  4.0L.
MERCEDES-AMG C 63 S Coupe dijana enjin V8 berkuasa 4.0L.
Mohd Razlan Salleh


Tiada yang lebih mengujakan bagi penggemar kereta apabila memiliki jentera coupe serba mewah dengan kuasa pecutan yang tiada tolok bandingnya.

Bagi membolehkan peminat kenderaan di negara ini memiliki jentera idaman mereka, Mercedes-Benz Malaysia melancarkan Mercedes-AMG C 63 S Coupe.

Model coupe dijana enjin V8 berkuasa 4.0L itu adalah paling berkuasa dalam segmennya.

Selain tampil dengan gaya ranggi hasil tangan AMG, enjin yang dibekalkan cukup berkuasa apabila mampu menghamburkan 510 kuasa kuda (hp) manakala tujahan tork setinggi 700Nm.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpang Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine (gambar) berkata, model terbaru itu sudah pasti memberi pengalaman menakjubkan kepada pemiliknya.

“Reka bentuk yang sasa jelas menunjukkan jentera ini memiliki daya kuasa yang sangat menakjubkan. Enjin turbo berkembar 4.0 liter V8 dari Affalterbach adalah paling berkuasa dalam kelasnya,” katanya ketika majlis pelancarannya di Litar Antarabangsa Sepang, baru-baru ini.

Ketika pelancarannya, wakil media turut berpeluang merasai pengalaman memandu uji jentera berkenaan di litar terbabit.

Mark berkata, pelancaran model itu susulan kejayaan pasukan Mercedes menjuarai kategori pengeluar untuk kali ketiga berturut-turut dalam Formula Satu (F1).

Model itu dipadankan bersama transmisi AMG Speedshift MCT tujuh kelajuan dan mampu memecut sehingga 290 km/j manakala kedudukan pegun ke 100 km/j dengan hanya mengambil masa 3.9 saat sahaja.

Sentuhan AMG tampak jelas apabila gerbang roda lebih luas termasuk 64 milimeter pada hadapan dan 66 milimeter bagi roda belakang.

Ini membolehkan pemilik menukar tayar lebih lebar sehingga 255 milimeter pada gandar depan dan 285 milimeter pada gandar belakang. Roda yang lebih lebar menyumbang kepada peningkatan pecutan, daya cengkaman dan ketangkasan.

Jentera berprestasi tinggi ini dijual pada harga RM773,888 (termasuk insurans) manakala varian ‘Edisi 1’ ditawarkan pada harga RM795,888.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 11:27 AM