MERCEDES-BENZ C200.
MERCEDES-BENZ C200.
Lizam Ridzuan


Barisan model menarik terus diperkenalkan Mercedes-Benz Malaysia (MBM) untuk pasaran tempatan dan terbaharu, Mercedes-Benz C-Class dipertingkatkan.

Model paling berjaya dalam kelas C ini kini memasuki tahun kelima dengan penambahbaikan serba mewah dan rekaan serta sistem bantuan keselamatan termaju.

Tiga varian ditawarkan iaitu Mercedes-Benz C200 dan C300 dengan enjin baru M264 empat silinder pengecas turbo berkapasiti 1.5L dan 2.0L serta AMG C43 dengan enjin V6 dwiturbo berkuasa 3.0L.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpang MBM, Mark Raine berkata, selain enjin generasi baru, C-Class juga menampilkan sistem bantu memandu dengan sokongan dan kendalian daripada pemandu untuk keselamatan aktif peringkat lebih tinggi.

“Mercedes-Benz C-Class baharu dengan rekaan diperhalusi, sistem hiburan dan maklumat generasi baharu, sistem keselamatan termaju dan enjin dinamik bagi meneruskan kecemerlangan sebagai model pemasangan tempatan (CKD) kami yang paling laris,” katanya ketika pelancaran, baru-baru ini.

GAYA sporty ruang dalaman C 200 Coupe.
GAYA sporty ruang dalaman C 200 Coupe.

Dilengkapi pakej aksesori Avantgarde Line, Mercedes-Benz C200 dijana dengan 1.5L dengan alternator dan sistem penghidup kombinasi berkuasa 48 Volt.

Ia juga dikenali sebagai EQ Boost dengan pertambahan 13 kuasa kuda (hp) untuk prestasi dan efisien.

Mercedes-Benz C-Class menyediakan kuasa maksimum 184 hp selain capaian rpm ideal untuk pertukaran gear lebih lancar.

Varian C300 AMG Line dengan padanan enjin 2.0L pula menawarkan 258 hp dan daya kilas 370 Nm bersama padanan kotak gear transmisi 9G-Tronic.

Mercedes-Benz AMG C43 4Matic pula hadir dengan enjin dwi-turbo V6 untuk limpahan kuasa tetapi penggunaan bahan api efisien dan emisi karbon rendah lebih.

Dua pengecas turbo menjadikan enjin lebih responsif dengan kuasa 3.0L V6 dipertingkatkan sebanyak 26 hp menjadikanya sekitar 390 hp sementara daya kilas mencapai 520 Nm.

Untuk rekaan luaran, varian C200 dengan karakter dipertingkatkan seperti bampar hadapan dinamik dan kemasan krom.

Ini termasuk salur masuk udara bentuk jaring permata dengan warna hitam dan paip ekzos berkembar untuk penampilan sporty.

Rupa baru C-Class juga menggabungkan elemen emosi dan kepintaran dengan rekaan semula pada beberapa bahagian seperti lampu hadapan dan belakang berkontur menyerlahkan karakter moden.

MERCEDES-BENZ C300.
MERCEDES-BENZ C300.

Model ini hadir dengan lampu LED manakala C300 dan AMG C43 menerima teknologi LED Multibeam bagi pencahayaan lebih baik.

Ruang dalaman C-Class disaluti material berkualiti tinggi untuk kesepaduan fungsi kokpit digital 12.3 inci digital dengan piihan paparan seperti Classic, Sport dan Progressive.

Paparan media bersaiz 10.25 inci boleh beroperasi dengan dua butang kawalan pada roda stereng dan fungsi pergerakan dan sentuhan sama seperti telefon pintar.

Gaya dinamik pada ruang dalaman C43 4Matic dengan perincian lebih tersendiri untuk gaya sporty seperti roda stereng AMG prestasi dengan sentuhan aluminium Dinamica.

Generasi baru C-Class juga hadir dengan ketersambungan sistem telefon pintar menggunakan Apple CarPay dan Android Auto untuk kekal berhubung sepanjang masa.

PENGUNJUNG memberi makanan kepada haiwan di Zoo Melaka, Ayer Keroh.
PENGUNJUNG memberi makanan kepada haiwan di Zoo Melaka, Ayer Keroh.

Keyless-Go pula membolehkan kemasukan dan pemanduan lebih mudah dengan hanya satu sentuhan selagi kunci berada bersama pemandu.

Untuk sistem keselamatan, C 200 Avantgarde dilengkapi Bantuan Titik Buta dan pada kelajuan dari 10 hingga 200 kilometer sejam (km/j) terpapar visual amaran dengan audio ketika lampu membelok diaktifkan.

Varian C300 dan C43 pula dilengkapi elemen Bantu Kekal Laluan dengan sistem yang memberi amaran kepada pemandu melalui getaran pada stereng jika kereta terkeluar daripada laluan.

Bagi pasaran tempatan, Mercedes-Benz C200 Avantgarde dijual pada harga RM259,888, C300 AMG (RM304,888) dan varian tertinggi AMG C43 berharga RM421,888.

Selain sedan, MBM juga menawarkan C-Class Coupe dengan tiga varian berbeza iaitu C200 Coupe (RM346,888), C300 Coupe (RM416,888) dan AMG C43 (RM577,888).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 5:00 AM