LIM  menunjukkan dua jenis produk Perskindol yang terdapat di pasaran tempatan.
LIM menunjukkan dua jenis produk Perskindol yang terdapat di pasaran tempatan.
Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur

Zuellig Pharma Sdn Bhd, pengedar tunggal produk bantuan melegakan otot dari Switzerland, Perskindol optimis untuk mengekalkan peningkatan jualan antara lima hingga 10 peratus dari setahun ke setahun bersandarkan aktiviti mempromosi dan kempen dalam acara sukan di negara ini.

Setakat tahun lalu, Perskindol menyokong antara 40 hingga 50 acara larian yang dianjurkan pelbagai organisasi dan berhasrat memperluaskan sokongannya dalam acara sukan lain termasuk berbasikal.

Eksekutif Produk Perskindol, Lim Pei Teen berkata, terdapat dua rangkaian produk Perskindol di Malaysia iaitu Perskindol Classic dan Perskindol Cool masing-masing digunakan sebelum dan selepas aktiviti bersukan.

Beliau berkata, Perskindol Classic produk dihasilkan dalam bentuk gel bagi tujuan urutan di bahagian otot dan Perskindol Cool dalam bentuk semburan bagi melegakan kesakitan selepas melakukan aktiviti bersukan.

“Memandangkan acara sukan membantu kami untuk melariskan jualan di pasaran Malaysia, syarikat sentiasa bersedia untuk menimbangkan bagi bekerjasama dengan mana-mana organisasi.

“Terkini, kami meneruskan kerjasama menaja acara berbasikal Harian Metro bagi meluaskan penggunaan Perskindol yang sebelum ini lebih tertumpu kepada acara larian,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Menurut Lim, pihaknya bersedia untuk bekerjasama lagi dengan Harian Metro bagi penganjuran Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2015. Perskindol bakal menawarkan potongan harga sekitar lima peratus kepada peserta acara berkenaan.

Pei Teen berkata, kelebihan Perskindol kepada penggunanya ialah tidak mempunyai bau, dirumuskan daripada bahan semula jadi dan boleh melegakan kesakitan otot dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 5:02 AM