Rosli Ilham dan Ahmad Rabiul Zulkifli

Serdang: “Ramai orang bersukan tidak mendengar suara badan mereka yang menjadi isyarat paling efektif untuk berhenti, sebaliknya beranggapan tanda seperti sakit dada dan nafas tercungap sebagai perkara biasa menyebabkan berlaku perkara tidak diingini,” kata Ketua Jabatan Pengajian Sukan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Tengku Fadilah Tengku Kamalden.

Menurutnya, ada individu terutama berusia 50 tahun ke atas meletakkan beban ke atas jantung dengan terbabit sukan aktif seperti berbasikal, bermain badminton dan futsal.

“Hakikatnya badan dan tenaga mereka bukan lagi muda, malah ramai lupa diri apabila bersukan dengan orang muda berusia 20-an atau 30-an seperti berhempas pulas bermain bersungguh-sungguh untuk memenangi pertandingan dan sebagainya,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Antarabangsa Analisis Prestasi Sukan Asia (ISPASA) berkata, ramai tidak tahu membezakan antara senaman dan bersukan.

“Senaman ialah aktiviti fizikal bersusun membabitkan pergerakan otot yang sama untuk jangka masa panjang seperti berjalan atau berenang.

“Sebaliknya bersukan seperti bermain badminton atau berbasikal aktiviti fizikal tidak terancang dari sudut masa dan jarak selain memerlukan tenaga yang tinggi,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:13 AM