ANTARA pengunjung yang ambil bahagian dalam HSN di Putrajaya
ANTARA pengunjung yang ambil bahagian dalam HSN di Putrajaya
Hayati IbrahimSaiful Affendy Sapran dan Rokaid Chik dan Izzali Ismail

Putrajaya: Penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) yang memasuki edisi kedua tahun ini memberi kesedaran besar kepada masyarakat untuk terbabit dengan aktiviti bersukan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau dapat melihat peningkatan kesedaran itu begitu ketara pada setiap tahun.

“Kalau kita lihat penyertaan untuk aktiviti sukan seperti larian maraton serta kayuhan, semuanya meningkat.

“Satu ketika dulu penganjuran larian seperti Standard Chartered Marathon ketika pada peringkat awalnya hanya menerima penyertaan sekitar 5,000 hingga 6,000 peserta saja.

“Tapi sekarang ini penyertaannya melebihi 30,000. Jadi kita dapat melihat daripada segi penyertaan, program seperti itu meningkat mendadak,” katanya.

Khairy juga berharap sasaran tujuh juta penyertaan sepanjang dua hari program HSN di seluruh negara sehingga hari ini akan dapat dicapai.

“Memang di atas kertas sasarannya adalah tujuh juta tapi saya akan dapatkan laporan terperinci pada pagi esok (hari ini) sebelum mengumumkannya.

“Jika dapat mencapai sasaran itu, maksudnya 20 peratus daripada penduduk Malaysia bersukan dan senario ini meningkatkan keyakinan kami untuk melonjakkan sasaran tahun depan,” katanya pada sidang media semalam.

Lebuh 30,000 peserta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti HSN peringkat kebangsaan semalam yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Barisan pemenang pingat Sukan Olimpik dan Paralimpik negara turut hadir dan mengambil bahagian dalam beberapa acara.

Antaranya termasuk jaguh badminton perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei, beregu negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta ratu terjun negara Pandelela Rinong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:09 AM