MAXWELL dan isterinya Stepeny didakwa menganiaya kanak-kanak lima tahun. FOTO Hairu Anuar Abd Rahim
MAXWELL dan isterinya Stepeny didakwa menganiaya kanak-kanak lima tahun. FOTO Hairu Anuar Abd Rahim
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan menganiaya seorang kanak-kanak berusia lima tahun hingga mendatangkan kecederaan, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Maxwell Mawat Undau, 29 dan Stepeny Lily, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Salina Omar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemandu lori dan isterinya itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang juga adik bongsu wanita terbabit dengan cara menghantuk kepala mangsa ke dinding, membakar mulut dan pipi kiri dengan api rokok, pijak dan tendang kaki mangsa serta memukul dengan menggunakan tali pinggang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di Taman Plentong Utama, Masai di sini, pada 9 malam, 5 Januari lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 11:41 AM