PASANGAN tertuduh di mahkamah. FOTO Nadim Bokhari
PASANGAN tertuduh di mahkamah. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 21 Jun depan untuk sebutan semula kes suami isteri yang didakwa membunuh Eric Chang, 4, Mac lalu.

Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Dora Undau menetapkan tarikh itu selepas permohonan dibuat oleh pihak pendakwaan bagi menunggu laporan kimia.

Tertuduh Ling Kok Liang, 51, bersama isterinya, Wendy Chai Xue Zhen, 36, yang juga penjaga kepada kanak-kanak terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, pasangan terbabit didakwa secara bersama membunuh kanak-kanak itu di rumah bernombor 1493, Lorong 2, Taman Riverview, Jalan Daya, Bintawa, di sini antara 5 petang 4 Mac hingga 9.15 pagi, 7 Mac lalu.

Pada hari yang sama, ibu mangsa, Dynasty Chang, 25, membuat laporan di Balai Polis Bintawa berhubung kehilangan anak lelakinya selepas gagal mencari anaknya itu yang dilaporkan hilang dari rumah penjaganya.

Berikutan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan pencarian dilakukan di kawasan Bintawa.

Bagaimanapun, hasil perkembangan lanjut siasatan, kes berkenaan kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 13 Mac lalu.

Pasangan terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kuching pada 31 Mac lalu.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 12:09 PM