Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan mendera dua beradik lelaki berusia enam dan 11 tahun termasuk dengan menyimbah air panas dan mencucuh api rokok pada badan dan kemaluan mangsa antara Jun hingga September lalu.

Tertuduh, R Kartik, 32, dan isterinya, B Darga Devi, 24, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama-sama mendera dua beradik yang berusia 11 tahun dengan memukulnya menggunakan rotan, penyangkut baju dan batang mop, meletakkan pisau panas di tangan dan mencucuh api rokok di badan dan menghantuk kepala mangsa ke dinding.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mendera seorang lagi kanak-kanak berusia enam tahun, yang juga adik mangsa pertama dengan memukulnya menggunakan rotan, penyangkut baju dan batang mop, meletakkan pisau panas di tangan dan mencucuh api rokok di seluruh badan dan kemaluan, menyimbah air panas ke seluruh badan selain menghantuk kepala mangsa ke dinding.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pasangan suami isteri berkenaan bersama-sama dua orang yang sudah dituduh minggu lalu di mahkamah sama, mengakibatkan mangsa trauma dan mengalami kecederaan pada tubuh badan.

Kesalahan berkenaan dilakukan kedua-dua tertuduh yang juga penjaga kanak-kanak itu di sebuah unit di Flet Selesa Jaya, Bandar Selesa Jaya, di sini, antara jam 8 malam hingga 1 pagi, antara Jun hingga September lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chab Choon Yew manakala kedua tertuduh diwakili peguam Munirah Najihah Shaari.

Terdahulu, Choon Yew tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh berikutan perbuatan mereka terhadap dua kanak-kanak malang itu bersifat ganas dan kejam, sekali gus dibimbangi keselamatan dua mangsa terjejas.

"Kes ini telah dilaporkan secara meluas dalam media dan mendapat perhatian umum. Kedua-dua tertuduh ini juga melarikan diri selepas polis berjaya menahan ibu dan kakak kepada tertuduh bernama Kartik," katanya.

Sementara itu, Munirah Najihah yang mewakili suami isteri itu bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan dalam jumlah yang rendah.

"Saya memohon ikat jamin dibenarkan memandangkan tertuduh kedua adalah suri rumah mempunyai tiga anak berusia sembilan bulan hingga tiga tahun yang perlu dijaga.

"Manakala, tertuduh pertama tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengambil upah memasak. Dia juga adalah penanggung tunggal keluarga. Jaminan yang tinggi akan membebankan mereka," katanya yang memaklumkan mahkamah kedua-dua mangsa kini di bawah jagaan ibu kandung mereka.

Mahkamah kemudian membenarkan suami dan isteri itu masing-masing diikat jamin sebanyak RM30,000 dan RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan empat orang penjamin.

Hakim turut memerintahkan syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali dan tertuduh dilarang untuk mendekati dan mengganggu mangsa serta saksi-saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 24 November nanti.

Pada 6 Oktober lalu, ibu kepada Kartik, B Mariamah, 60, dan kakaknya, R Deeba, 37, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mendera dua beradik berkenaan.

Pada petang hari mereka didakwa, Kartik dan Darga Devi turut ditahan polis.

Dua kanak-kanak malang itu kini masih berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk rawatan lanjut kecederaan parah yang dialami mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 1:22 PM
Tertuduh suami isteri B. Darga Devi, 24, (kanan) dan R. Kartik, 32, (kiri) dihadapkan ke mahkamah atas kes penderaan dua beradik di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Tertuduh suami isteri B. Darga Devi, 24, (kanan) dan R. Kartik, 32, (kiri) dihadapkan ke mahkamah atas kes penderaan dua beradik di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN