GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

Tampin: Empat remaja lelaki dihadapkan ke mahkamah hari ini, atas pertuduhan melakukan jenayah seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Gemas pada Februari lalu.

Pertuduhan dijalankan di mahkamah berasingan iaitu Mahkamah Majistret Tampin dan Mahkamah Sesyen Seremban.

Di Mahkamah Majistret Tampin, dua tertuduh berusia 17 dan 16 tahun membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh berusia 17 tahun melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada pada jam 11 malam, 20 Februari lalu di sebuah rumah di Gemas.

Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh berusia 16 tahun dituduh merogol kanak-kanak perempuan sama di antara jam 3 hingga 8 pagi di lokasi sama pada 21 Februari lalu.

Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 terhadap setiap seorang tertuduh dengan syarat tidak mengganggu mangsa sehingga selesai kes.

Kes disebut semula pada 27 Mei ini bagi laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Seremban, dua remaja berusia 18 dan 19 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berasingan iaitu tuduhan amang seksual bukan fizikal dan rogol ke atas kanak-kanak perempuan sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Datin Surita Budin menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 ke atas tertuduh berusia 18 tahun dan RM7,000 kepada seorang lagi tertuduh dan menetapkan 9 Mei bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 4:35 PM