Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Kunjungan ke Kemboja antara program yang menanti anak buah Datuk M Karathu dalam usahanya menguji kemampuan pasukan The Bos Gaurus bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) 2015 bermula bulan depan.

Setiausaha Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Abd Aziz Yeop Jamaluddin berkata, kunjungan ke Kemboja itu sebagai mengganti pemergian ke Bandung yang dibatalkan baru-baru ini.

Malah Aziz berkata, Karathu mempunyai jadual padat dalam usaha menguji anak buahnya apabila PAFA menyusun beberapa perlawanan persahabatan dalam tempoh lapan hari bermula pertemuan menentang PKNS FC di Stadium Perak, malam ini.

Menurut Aziz perlawanan dengan PKNS itu yang keenam buat The Bos Gaurus yang sebelum ini bertemu Kedah dua kali diikuti perlawanan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pulau Pinang dan yang terbaru, UiTM.

Kecuali tumpas 2-1 kepada Kedah dalam perlawanan pertama di Ipoh, anak buah Karathu menang ke atas ATM dan seri 1-1 dengan Pulau Pinang dan UiTM.

Aziz berkata Karathu berpeluang menguji keupayaan anak buahnya menentang Negeri Sembilan di Seremban Jumaat ini dan selepas itu akan mengadakan perlawanan amal di Ipoh dengan Kelantan pada 20 Januari ini.

“Sebenarnya Perak mempunyai jadual padat dalam tempoh dua tiga minggu ini kerana akan mengadakan perlawanan pemanas badan dengan beberapa pasukan.

“Perak turut bertuah kerana dijemput menyertai kejohanan empat penjuru anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM),” katanya.

Dalam perkembangan lain, PAFA akan mengadakan majlis pengenalan pemain pasukan Liga Super, Piala Presiden, Belia dan Futsal di PORT, Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh, pada 17 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 6:15 AM