Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Pengendali Perak Datuk M Karathu merancang mengadakan kursus motivasi khas buat pemainnya dalam usaha menyuntik semangat berpasukan The Bos Gaurus ketika Liga Super ditangguhkan tujuh minggu.

“Rehat panjang ini sudah tentu akan menjejaskan semangat dan momentum pemain. Justeru, mereka perlu diberi motivasi dan kata-kata perangsang.

“Bukan mudah untuk mengekalkan keyakinan diri pemain terutama selepas berehat panjang,” katanya.

Justeru, Karathu sudah menyerahkan cadangan kepada jawatankuasa pengurusan pasukan mengenai program itu dan berharap ia mendapat kelulusan.

Katanya, beliau berhasrat memanggil seorang pakar motivasi untuk mengendalikan program itu.

Perak yang berehat selama 10 hari sejak perlawanan terakhir menentang Pahang, 5 Mei lalu di Stadium Darulmakmur, memulakan semula sesi latihan sejak Isnin lalu.

Menurut Karathu, semua pemain kecuali dua awang import, Namkung Woong dan Thiago Junio Aquino sudah melaporkan diri untuk latihan.

“Semua berada dalam keadaan bersedia untuk memulakan persiapan menghadapi baki kempen kami yang bermula dengan pertemuan menentang Sarawak di Kuching pada 20 Jun.

“Ini perlawanan terakhir pusingan pertama buat kami. Tiga hari kemudian Sarawak pula akan bertandang ke Ipoh bagi perlawanan pertama pusingan kedua,” katanya.

Karathu berkata, Perak mempunyai jadual yang padat selepas ini termasuk bermain lima perlawanan sepanjang Ramadan.

Selain dua pertemuan dengan Sarawak itu, perlawanan lain ialah menentang Sime Darby FC (27 Jun), Angkatan Tentera Malaysia (4 Julai) dan LionsXII (8 Julai).

“Kami akan bermain tiga perlawanan dalam tempoh seminggu dalam bulan puasa nanti,” katanya.

Menurut jurulatih itu, ini kali pertama perlawanan diadakan pada Ramadan dan beliau tidak dapat mengagak kesannya terhadap pemain tetapi berharap persembahan mereka tidak terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 8:12 AM