Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Datuk M Karathu berkenan melihat apa yang dipamerkan oleh awang import baru yang sedang diujinya sejak beberapa hari lalu.

Namun jurulatih The Bos Gaurus itu mahu melihat kemampuan sebenar pemain itu apabila menguji mereka menentang ATM dalam perlawanan persahabtan di Stadium Perak, malam ini.

“Setakat ini mereka memang nampak hebat ketika dalam latihan dalam perlawanan ujian menentang pasukan tempatan.

“Tapi bagi saya yang penting ialah persembahan mereka semasa bertemu pencabar kuat dari Liga M.

“Jadi perlawanan dengan ATM malam esok (ini) pentas terbaik melihat kemampuan mereka,”katanya.

Menurut jurulatih itu dia sudah mengadakan perlawanan dengan pasukan Tentera laut Di Raja Malaysia (TLDM), kelmarin tetapi pasukan itu bukanlah pencabar kuat.

Karathu berkata setakat ini dia masih menguji tiga daripada lima pemain yang datang ke Ipoh sejak Isnin lalu untuk menjalani ujian.

“Tiga ini nampak mempunyai ciri-ciri yang dicari tetapi saya tidak mahu terburu-buru membuat keputusan,”katanya yang mahu mencari bermain dengan dua pemain pertahanan dan dua penyerang import.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 8:17 AM