HUSNA ceria mendengar cerita Che Nah Budin (kiri) dan Sharifah Abu Hassan.
HUSNA ceria mendengar cerita Che Nah Budin (kiri) dan Sharifah Abu Hassan.
NURUL AZLIZA mengambil tekanan darah penghuni Darul Insyirah, Normah Mohd.
NURUL AZLIZA mengambil tekanan darah penghuni Darul Insyirah, Normah Mohd.
Siti Zarinah Sahib

Menjaga warga emas terutama mereka yang terlantar dan tidak mampu menguruskan diri sendiri memerlukan kesabaran tinggi. Apatah lagi yang melakukannya adalah golongan muda dan dikatakan mempunyai sikap panas baran atau kurang mahir menyantuni orang tua.

Jika tidak kena cara­nya, orang tua yang berjiwa lembut dan beremosi ini pasti meluahkan rasa kurang selesa apabila berhadapan pekerja yang tidak pandai mengambil hati mereka.

Bagi Ketua Operasi Darul Insyirah, Bangi dan juga penjaga warga emas Nurul Azliza Nordin, 30, berhadapan warga tua seusia ibu dan diibaratkan sebagai nenek memerlukan cara tersendiri mengendalikan mereka.

Bagi yang tidak mampu menguruskan diri memerlukan 100 peratus sokongan penjaga termasuk menyuapkan makan dan minum mereka.

Bekerja hampir setahun enam bulan, Nurul Azliza mengakui kali pertama menjejakkan kaki ke sini menimbulkan keinsafan apabila melihat warga emas yang terlantar dan memerlukan penjagaan rapi.

“Terbayang bagaimana kehidupan saya nanti, adakah akan melalui perjalanan yang sama atau sebaliknya. Melihat keadaan ibu di sini yang sudah tidak terdaya akibat strok, saya hampir menitiskan air mata. Saya memerlukan masa yang lama membina kekuatan diri. Lama-kelamaan jiwa saya lebih kuat dan kental,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Biarpun menceburi kerjaya berbeza dengan apa yang dipelajari ketika di universiti, bagi Nurul Azliza ia sedikit pun tidak menimbulkan rasa kecewa sebaliknya sepanjang bertugas dia dapat mempelajari pelbagai kerenah manusia. Di situ dia belajar menjadi insan yang lebih sabar dan memahami hala tuju hidup yang akhirnya akan menemui Maha Pencipta suatu hari nanti.

“Di sini saya ibaratkan sebagai gedung kehidupan yang tidak dapat dijual beli. Saya meneladani sifat orang tua, memahami jiwa mereka yang halus dan lembut seperti bayi serta menjaga mereka secara amali. Setiap penghuni berbeza cara dan pendekatan. Salah perlakuan atau percakapan akan membuatkan emosi mereka tersentuh dan itulah perkara yang perlu dijaga dan dielakkan,” katanya.

Dia mengakui tidak pernah menjaga ahli keluarga yang sakit. Namun dia belajar de­ngan membaca menerusi Internet atau buku cara pengendalian warga emas yang terlantar dari segi menukarkan lampin pakai buang dan memberikan ubat-ubatan.

Namun ia perlu dilakukan secara lembut dan berhemah supaya mereka percaya dan membenarkan untuk memberikan makanan atau ubat-ubatan.

JAGA ‘SYURGA DUNIA’ UNTUK SYURGA AKHIRAT

Ujar Nurul Azliza, sifatnya yang gemar melayan orang tua serta peramah menyebabkan dia tidak kekok menjaga warga emas. Setiap apa yang dilakukan semuanya kerana Allah. Malah dia beruntung kerana menjadi pilihan Allah bekerja dalam bidang yang banyak ‘mengaut pahala dunia dan akhirat’ itu.

“Sepanjang bertugas di sini, rezeki saya lebih mudah. Walaupun gaji diterima mungkin tidak setinggi mereka yang bekerja dalam bidang profesional, kehidupan saya sentiasa dipermudahkan Allah. Mungkin ia kerana bonda di sini yang tidak putus berdoa agar saya diberikan kehidupan dan rezeki yang baik,” katanya yang menceburi bidang itu sebaik saja pulih daripada kemalangan pada 2014.

Menceritakan pengalaman ngeri itu, Nurul Azliza yang ketika itu memandu kereta ketika pulang melaksana projek di Pulau Pinang terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan dia hilang ingatan. Selepas menjalani rawatan, doktor mengesahkan proses pemulihan mengambil masa yang lama.

“Ketika itu setiap hari saya menangis. Ada kala kerana tidak dapat mengawal perasaan saya menjerit. Saya terfikir sekiranya meninggal ketika itu apakah amalan yang hendak dibawa ke sana. Saya jadi semakin takut,” katanya.

Bermula daripada peristiwa itu, Nurul Azliza tekad memberikan sesuatu kepada masyarakat agar dia dapat menambah nilai kehidupan insan lain. Pada masa yang sama dia terbaca mengenai pengambilan pekerja di Darul Insyirah.

“Alhamdulillah, saya mula mengabdikan diri di sini dan berdamping dengan warga emas yang dipanggil bonda. Sedikit demi sedikit ingatan saya semakin pulih dan berasakan perlunya memberikan sesuatu yang menjadi amal untuk kemudian hari,” katanya.

Dia masih ingat pesanan ibu agar menjaga syurga dunia iaitu ibu sekiranya ingin mendapat syurga akhirat.

Ditanya pengalaman yang tidak dapat dilupakan, dia tersenyum. Kenangan paling mengharukan ialah apabila dia berpeluang mengajar bonda mengucap dua kalimah syahadah saat mereka pergi menemui Ilahi. Ia sesuatu yang cukup bernilai serta memberikan keinsafan kepada dirinya.

USTAZ MUDA, WARGA EMAS

Bagi pegawai pentadbiran Darul Insyirah Muhammad Hanafi Md Muidnudin, 24, sebaik diterima bertugas sebagai tenaga pengajar untuk warga emas, dia terfikir apakah pendekatan yang perlu digunakan bagi mengajar warga emas yang boleh dipanggil nenek yang kebanyakannya berpengalaman dan menjawat jawatan profesional satu ketika dulu.

“Jika diikutkan usia memang agak kekok terutama apabila perlu mengajar bonda di sini yang terlantar dan tidak dapat bergerak. Walaupun masing-masing mempunyai ilmu agama yang tinggi dibandingkan saya yang diibaratkan masih ‘setahun jagung’ namun semuanya sangat hebat kerana pada usia yang sudah lanjut mereka masih mahu menuntut ilmu,” katanya.

Namun sifat mereka yang mudah mesra dan berjiwa keibuan menjadikan setiap sesi pembelajaran sangat menceriakan terutama apabila diselang-selikan soalan berkaitan tafsir al-Quran, hadis, fiqah dan haji serta paling banyak mengenai kematian. Soalan sebegini membuatkan Hanafi semakin bersemangat menambah ilmu agar dia dapat menjawab persoalan yang diutarakan mereka.

Memiliki ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Falsafah daripada UKM, biarpun berpeluang menjawat jawatan yang lebih baik di luar, Hanafi tidak menyesal bertugas di sini kerana dia mampu melonjakkan keupayaan diri menerusi program berbentuk kemasyarakatan di bawah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU).

“Setiap program saya berupaya membentuk dan merencana di peringkat bawah seterusnya melihat keberkesanannya. Ini sudah tentu tidak saya peroleh di tempat lain. Bertemu dengan warga emas yang saya anggap nenek adalah peluang yang tidak mungkin diraih di tempat lain.

“Ditambah pula dengan keadaan masyarakat yang semakin hilang jati diri dan generasi muda yang kian luntur rasa hormat, Darul Insyirah adalah pusat pembelajaran kehidupan secara amali. Saya belajar menyantuni orang tua, memahami perasaan dan emosi mereka. Ia umpama refleksi bagaimana keadaan saya apabila tua kelak,” katanya yang juga penerima anugerah Buku Universiti UKM 2016 atas kecemerlangan dalam pelajaran.

GAJI NOMBOR DUA

Bagi Pengurus Darul Insyirah Husna Muhamad Zamani, sebelum menyertai Darul Insyirah sebagai tenaga pengajar dia juga mempunyai persepsi yang sama agar memilih pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan. Namun kembali kepada fitrah manusia dan hala tuju hidup, Husna sedar hidup bukanlah semata-mata bersandarkan kepada kemewahan sebaliknya dunia perlu bergerak seiring dengan akhirat.

“Akhirnya selepas muhasabah diri dan melihat hala tuju PACU yang memperjuangkan pendidikan, saya akur inilah kerjaya yang akan menjadi ‘ladang’ pahala. Melihat bonda yang semakin uzur dan dapat menguruskan mereka saya terfikir alangkah bahagianya kerana setiap masa pahala berjalan. Jika memahaminya pasti setiap orang berebut-rebut mencari pahala,” katanya yang turut mengadakan kelas fiqah, al-Quran dan tazkirah setiap hari.

Mengakui ia bukanlah tugas mudah menguruskan warga emas yang sihat dan terlantar namun semuanya dapat dilakukan dengan mudah sekiranya menetapkan niat kerana Allah. Setiap hari memandang wajah orang tua dia sering mendoakan agar mereka sihat dan dapat melakukan ibadat sehingga hujung nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 2:47 PM