PENJAGA mengurut kaki warga emas yang berkerusi roda.
PENJAGA mengurut kaki warga emas yang berkerusi roda.
RAWATAN kesihatan oleh jururawat diadakan sebulan sekali.
RAWATAN kesihatan oleh jururawat diadakan sebulan sekali.
FALLAH (kiri) mengajar penghuni Darul Insyirah mengenai hadis dan kisah nabi.
FALLAH (kiri) mengajar penghuni Darul Insyirah mengenai hadis dan kisah nabi.
Siti Zarinah Sahib

Dulunya bonda Khatijah, 65, (bukan nama sebenar) sering muram dan tidak mahu bergaul dengan rakan seusia. Pertama kali dihantar di situ, dia melarikan diri dan duduk di bawah katil berjam-jam lamanya. Selepas dipujuk makan barulah dia keluar. Begitulah keadaan dia yang menurut anaknya menjadi tertekan disebabkan berseorangan di rumah tanpa ditemani sesiapa.

Memikirkan ibu memerlukan penjagaan rapi, mereka empat beradik mengambil keputusan menghantarnya ke Pusat Jagaan Warga Emas Darul Insyirah di Sungai Ramal, Kajang Selangor.

Selepas melalui pengalaman bersama rakan seusia dan mengikuti hampir semua aktiviti, dalam masa seminggu kelihatan banyak perubahan ditunjukkan Khatijah.

Daripada sinar wajahnya tiada lagi kesedihan malah dia sudah mampu ketawa, berbual dengan semua penghuni malah tidak pernah ketinggalan mengikuti semua aktiviti seperti kelas agama, mengaji al-Quran dan solat berjemaah.

Perubahan ini tentunya amat menggembirakan anak dan penjaga Darul Insyirah kerana Khatijah sudah dapat menjalani kehidupan biasa seperti penghuni lain.

Menurut Pengasas Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (Pacu) Asral Widad Ahmad Asnawi, perubahan ditunjukkan penghuni Darul Insyirah sebelum dan selepas berada di situ sangat menggembirakan. Ada yang kurang sihat namun selepas diberikan rawatan dan penjagaan, keadaan mereka menyenangkan.

Begitu juga bagi yang mengalami masalah tekanan perasaan semuanya dapat dihilangkan menerusi aktiviti keagamaan diadakan.

Pada mulanya semua penghuni Darul Insyirah ditempatkan dalam rumah yang sama di Bandar Baru Bangi, tetapi apabila melihat ketidaksesuaian disebabkan percampuran di antara bonda yang sihat dan kurang sihat, dia berasakan perlu ada penginapan berbeza. Ditambah pula keperluan seperti katil pesakit dan peralatan kesihatan sangat kurang.

“Pada masa itu juga permintaan daripada anak yang ingin menghantar ibu mereka semakin bertambah. Jadi perlu menempatkan ibu ini dalam rumah berbeza agar mereka dapat menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya.

Bermula dengan empat bonda kini penghuni bertambah kepada 18 orang dengan tiga jururawat bertugas mengikut giliran selain enam orang petugas yang turut tinggal bersama bonda di situ. Bagi bonda yang kurang sihat seperti menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi, nyanyuk atau masalah kesihatan lain mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dulu di Klinik Az Zahran, Bandar Baru Bangi.

“Ini membolehkan petugas mengetahui tahap kesihatan penghuni dan memberikan ubat-ubatan sepatutnya. Namun pemeriksaan daripada jururawat diadakan di sini setiap bulan,” katanya.

Bukan hantar terus

Mengenai konsep penubuhan Darul Insyirah, jelas Widad, semua penghuni bukanlah ‘ditinggalkan’ terus oleh waris mereka. Sebaliknya waris dan anak masih bertanggungjawab ke atas ibu mereka. Mereka dibenarkan melawat, menghantar makanan dan membawa ibu pulang pada setiap hujung bulan.

“Maksudnya anak menghantar dengan rasa tanggungjawab dan tidak lepas tangan. Malah kami berhubung rapat dengan waris bagi memastikan rasa tanggungjawab dan kemesraan itu wujud,” jelasnya.

Kata Widad, dia sangat gembira sekiranya penjaga atau anak bersikap proaktif dalam memastikan perkembangan kesihatan ibu mereka. Dalam hal ini mereka tidak membiarkan kesihatan ibu diuruskan sepenuhnya oleh Darul Insyirah sebaliknya selalu datang bertanya khabar, memberikan ubat sesuai dan sekali-sekala membawakan makanan kegemaran si ibu. Dengan cara ini ia bukan saja dapat menceriakan hati ibu malah penghuni lain.

Sebagai pertubuhan bukan berunsurkan keuntungan, Darul Insyirah wujud sekadar mengisi kelompongan dalam masyarakat apabila anak semakin sibuk dengan kerjaya masing-masing. Pada masa sama, golongan ini mahu memberikan yang terbaik kepada ibu tersayang.

Untuk meninggalkan ibu di rumah berseorangan adalah tindakan yang kurang bijak. Malah ada juga ibu yang kurang selesa ditemani pembantu rumah terutama jika mempunyai masalah kesihatan.

“Jadi mahu atau tidak ibu ini terpaksa ditinggalkan sementara di rumah penjagaan yang menyediakan keperluan seharian dalam ruang lingkup selesa. Kami bukan saja menyediakan keperluan fizikal tetapi juga mengisi kerohanian dengan ilmu agama.

“Setiap hari ada kelas agama, zikir dan bacaan al-Quran daripada Ustazah Fallah Hassan Shahrom Jamil. Ia bukan saja untuk bonda yang sihat tetapi mereka yang sakit atau terlantar juga berpeluang menyertainya. Secara tidak langsung kesunyian mereka terisi, jiwa semakin tenang dalam menjalani kehidupan seharian terutama apabila berjauhan dengan anak dan cucu,” katanya.

Malah dengan rawatan kesihatan setiap bulan ia memberikan peluang ibu menjalani kehidupan lebih positif dalam meningkatkan tahap kesihatan mereka. Ia juga mengikis persepsi masyarakat yang melihat rumah perlindungan warga emas sebagai lokasi menempatkan ibu bapa yang tidak mahu dijaga anak. Rumah penjagaan ini adalah ruang meneruskan jalinan kasih sayang dan rasa tanggungjawab dalam bentuk dan pengisian berbeza.

Katanya lagi, ada juga bonda dihantar secara harian terutama bagi anak yang risau meninggalkan ibu sendirian di rumah. Jadi mereka meletakkan ibu di sini pada waktu pagi dan menjemput pulang sebalik habis bekerja.

Bagi anak yang sering berada di luar kawasan terutama luar negara dalam tempoh yang lama Darul Insyirah turut menyediakan tempat bagi ibu ini buat sementara waktu.

Namun sebelum bersedia menerima kehadiran penghuni, anak dan waris akan ditemuramah bagi memastikan tahap kesihatan ibu mereka.

“Ada juga ibu yang mengalami tekanan perasaan, tertekan, pelupa atau nyanyuk yang boleh mengganggu penghuni. Jadi kami tidak dapat menerima kehadiran mereka,” katanya.

Pemakanan berkhasiat

Penyediaan makanan juga sangat dititikberatkan oleh enam pembantu dan dua tukang masak. Disebabkan ada penghuni berusia 80 tahun dan terlantar sakit, makanan disediakan perlu sesuai dengan kesihatan mereka.

“Memang kami sangat mementingkan kebersihan dan khasiat makanan supaya mereka mendapat nutrien yang cukup serta kekal sihat,” katanya.

Widad bercadang menyediakan rumah khas bagi menempatkan golongan tua yang agresif, warga tua lelaki dan berkelamin.

“Sekarang memang banyak permintaan daripada waris yang ingin menempatkan ayah dan ibu mereka disebabkan kesibukan bekerja. Semuanya masih di dalam perancangan, sekiranya berjalan lancar dengan dana mencukupi Insya Allah dapat diadakan dalam waktu terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 5:04 AM