WIDAD ajak wanita sertai program berbentuk kemasyarakatan.
WIDAD ajak wanita sertai program berbentuk kemasyarakatan.
WIDAD memberikan sepenuh tumpuan dalam kerja amal selepas anak sembuh daripada leukemia.
WIDAD memberikan sepenuh tumpuan dalam kerja amal selepas anak sembuh daripada leukemia.
WIDAD (duduk dua dari kiri) bersama kaki tangan dan sukarelawan Darul Insyirah.
WIDAD (duduk dua dari kiri) bersama kaki tangan dan sukarelawan Darul Insyirah.
MENGADAKAN perbincangan dalam menjayakan sesuatu program.
MENGADAKAN perbincangan dalam menjayakan sesuatu program.
MODUL mengaji al-Quran untuk warga emas yang diadakan di Darul Insyirah.
MODUL mengaji al-Quran untuk warga emas yang diadakan di Darul Insyirah.
DARUL Insyirah menjadi pusat penjagaan orang tua yang pertama berasaskan kepada ilmu dan pendidikan.
DARUL Insyirah menjadi pusat penjagaan orang tua yang pertama berasaskan kepada ilmu dan pendidikan.
Siti Zarinah Sahib

Dugaan datang dalam pelbagai bentuk. Namun diuji dengan kesakitan apabila anak menghidap leukemia pada usia tiga tahun dan memerlukan penjagaan rapi menyebabkan Asral Widad Ahmad Asnawi, 41, yang ketika itu pensyarah Fakulti Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil keputusan melepaskan jawatan untuk memberikan tumpuan kepada anaknya.

Dalam masa berulang-alik dari rumah ke hospital, dia berasakan bagaikan ada kekosongan dalam jiwa. Diperhatikan sekeliling pada anak yang sedang menjalani rawatan, hatinya amat tersentuh. Jika dulu ketika masih menuntut dalam jurusan undang-undang di UIAM, dia aktif dalam pelbagai program amal, tetapi selepas mendirikan rumah tangga masa banyak dihabiskan dengan bekerja dan menguruskan keluarga.

“Ketika masih belajar, pantang ada program saya pasti memberikan nama untuk menyertainya. Namun sebaik saja melangsungkan perkahwinan dengan Prof Madya Dr Aznan Hassan, pensyarah saya ketika itu, acara membabitkan kerja amal tidak lagi saya sertai disebabkan kesibukan menguruskan rumah tangga,” katanya.

Kesibukan menguruskan tujuh anak menyebabkan dia terfikir sumbangan kepada masyarakat. Lantas dia berdoa dan berjanji membabitkan diri dengan kerja amal sekiranya anaknya sembuh daripada leukemia.

Widad percaya niat yang baik pastinya diberikan jalan oleh Allah SWT. Bermula dari situ, wanita kelahiran Kedah ini mula menyertai Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang menganjurkan pelbagai aktiviti berbentuk kemasyarakatan.

Jelas Widad, pengalaman menyertai Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ketika menuntut di UIAM membantu mengendalikan program sebegini sehingga dia mencetuskan idea menubuhkan Raudatul Huffaz (RH) yang memberikan tumpuan keadaan anak kurang berkemampuan mempelajari dan menghafaz al-Quran.

Selepas mengikuti kelas anjuran Islamic Parenting Network di bawah Lina Karim untuk berkongsi kaedah mendidik dua anaknya menjadi huffaz, Widad rasa tercabar kerana dia sendiri mempunyai latar belakang sekolah agama sehingga ke peringkat universiti, sudah pasti mampu mendidik lebih ramai huffaz.

“Saya rasa tercabar dan menyahut cabaran untuk memulakan langkah mendidik lebih ramai huffaz dalam kalangan kanak-kanak. Hasilnya saya mengajar 15 anak jiran di rumah, namun ia tidak mencukupi kerana saya berasakan mengapa tidak jika saya melakukannya dalam skala yang lebih besar.

“Akhirnya RH pertama ditubuhkan di Puncak Bangi dengan jumlah pelajar awal 10 orang saja. Kami sedar ada kekangan ibu bapa yang mempunyai keinginan tinggi menghantar anak mendalami al-Quran seterusnya menjadi seorang huffaz. Namun, masalah kewangan juga jarak rumah yang jauh menyebabkan mereka mengabaikannya.

“Menerusi RH, kami mengumpul sejumlah kanak-kanak melebihi lima orang kemudian menggunakan rumah, surau atau dewan di kawasan sekitar untuk dijadikan pusat pengajaran al-Quran. Dengan itu, anak ini dapat belajar dengan selesa dan lebih sistematik. Permintaan tinggi daripada ibu bapa serta penduduk setempat membolehkan RH kini mempunyai 40 cawangan sehingga Sabah dan Sarawak,” katanya yang turut menjadi pengerusi dan pengasas kepada dua cawangan Rumah Jagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah di Kajang, Selangor.

Variasi idea amal

Menceritakan lebih lanjut mengenai Darul Insyirah, idea menubuhkan rumah jagaan dan pendidikan warga emas berkenaan selepas melalui sendiri pengalaman melihat rumah jagaan orang tua yang tidak terurus.

Apa yang ada di fikiran, rumah yang menempatkan warga emas hanya sebagai tempat untuk mereka tinggal dan menunggu sehingga pengakhiran hayat di situ.

“Saya ingin membuang tanggapan salah ini terhadap banyak rumah orang tua yang ada di Malaysia. Biasanya mereka yang tidak mahu dijaga oleh anak atau hidup sebatang kara pastinya menjadi penghuni di rumah orang tua.

“Penubuhan Darul Insyirah membuka mata orang ramai yang warga emas memerlukan tempat untuk mereka bersosial dan menghabiskan sisa hidup dengan melakukan aktiviti keagamaan. Sebab itu saya menghasilkan modul lengkap yang diisi dengan aktiviti ceramah agama, membaca al-Quran, solat berjemaah dan pelbagai wadah bagi mengisi jiwa yang kekosongan.

“Mereka juga boleh pulang setiap hujung minggu bertemu anak. Inilah yang membezakan Darul Insyirah dengan pusat jagaan yang lain,” katanya yang memiliki Sarjana Undang-undang pengkhususan Medico-legal dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU), impiannya ingin memberikan ilmu kepada masyarakat agar keluar daripada kepompong kemiskinan. Ini kerana hanya dengan ilmu saja mampu memberikan perubahan dalam masyarakat.

Pelbagai aktiviti dianjurkan seperti Program Tuisyen Ummah (Protu) yang memberi peluang kepada pelajar menimba ilmu tanpa mengenakan bayaran atau bayaran paling minimum. Program ini dikendalikan sukarelawan terdiri daripada pelajar universiti yang ingin berbakti kepada masyarakat.

Program I-Backpackers pula menyasarkan anak yatim daripada sekolah menengah agar mereka dapat melalui pembelajaran dengan menjalani latihan praktikal menerusi lawatan serta aktiviti yang disediakan penganjur. Pada akhirnya, aktiviti ini dapat membuka minda mereka menjadi insan yang lebih hebat pada masa akan datang.

Kekangan kewangan

Menyedari setiap program memerlukan bajet yang tinggi sedangkan mereka hanya mengharapkan belas ihsan orang ramai, menurut Widad, dalam setiap aktiviti niatnya hanya satu iaitu ingin membangunkan ummah menerusi program berbentuk pendidikan.

Selepas merancang dia berdoa, berusaha dan bertawakal dan akhirnya Allah membantu dengan memberikan orang yang ingin menghulurkan sumbangan.

“Dulu saya terlalu sibuk bekerja sehingga tiada masa melakukan kerja amal. Sekarang saya ingin melakukan sesuatu menerusi ilmu yang Allah kurniakan kepada saya. Ini tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Jika saya tidak melakukannya, siapa lagi?

“Saya juga ingin mendidik anak agar melakukan sesuatu kerana Allah bukan manusia. Cari reda Allah dengan mengajak lebih ramai individu melakukan sesuatu perkara kerana Allah,” katanya.

Dalam pada itu Widad ingin mengajak lebih ramai wanita menyertai program berbentuk kemasyarakatan bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan, asnaf, warga tua, anak yatim, mualaf atau ibu tunggal bukan saja dari segi kewangan tetapi idea, tenaga dan juga khidmat nasihat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 11:02 AM