SIKAP prihatin anak membolehkan ibu bapa jalani hari tua dengan tenang dan selesa.
SIKAP prihatin anak membolehkan ibu bapa jalani hari tua dengan tenang dan selesa.
BERIKAN penjagaan kesihatan sebaik mungkin kepada ibu bapa.
BERIKAN penjagaan kesihatan sebaik mungkin kepada ibu bapa.
Norlaila Hamima Jamaluddin


SEORANG penceramah agama terkenal berpesan, untuk mendidik anak kecil ibu bapa mesti menunjukkannya dengan perbuatan. Untuk memberi didikan kepada anak yang sudah dewasa pula (walaupun mereka sudah berumah tangga) sebaiknya dengan perkataan.

Tidak sedikit anak-anak kecil yang terasa hati dengan ibu bapa yang kurang memberikan perhatian kepada mereka kerana sibuk bekerja. Apabila balik rumah, ibu bapa masih sibuk melayani kehendak diri dengan melayani teman maya atau melayari media sosial hingga kesuntukan masa menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak.

Benar, anak-anak zaman ini faham pentingnya wang, tetapi perhatian ibu bapa kepada mereka yang dizahirkan melalui perbuatan itu lebih mustahak. Contohnya, memberitahu anak-anak bahawa kita sayangkan mereka dengan kata-kata tidak cukup, ia perlu disertakan dengan sentuhan sama ada pelukan, ciuman atau belaian.

Ini kerana tahap pemikiran anak-anak ini belum mampu memproses kata-kata sayang untuk masuk dalam hati mereka. Mereka tahu, tetapi tidak merasakannya.

Namun bagi anak remaja dan dewasa, pendekatannya berbeza. Didikan untuk mereka perlu melalui kata-kata yang jelas, bukan berkias. Malah anak remaja dan dewasa mungkin tidak faham mesej yang hendak disampaikan ibu bapa melalui perbuatannya.

Contohnya, jika ibu atau bapa mengadu lututnya sakit, mungkin anak menganggap itu perkara biasa yang menjadi sebahagian daripada proses penuaan. Mungkin tidak ramai yang mentafsir bahawa ibu dan ayah perlukan bantuan melakukan kerja rumah atau dibawa ke klinik mendapatkan rawatan. Ini kerana kita tidak menerapkan konsep pendidikan seperti itu.

Mendengar pesanan itu membuatkan penulis teringat kepada beberapa ilmu yang dikutip kala menghadiri Persidangan Industri Warga Emas Kebangsaan anjuran Pusat Jagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah.

Sebagai anak, kita sebenarnya tidak perlu menunggu dewasa dan sudah bekerja untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapa kerana kita tidak tahu bila ajal tiba. Jadi, manfaatkan sebaiknya masa yang kita ada untuk mengutip pahala dan menyumbang jasa kepada orang tua.

Perhatikan keadaan ibu bapa kita yang semakin dimamah usia. Kebanyakan ibu bapa kita mengambil pendekatan menyimpan masalah yang dihadapi kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak.


Antara perkara yang perlu diperhatikan ialah:

1. Keadaan kesihatan fizikal ibu bapa

Ambil tahu kesihatan ibu bapa secara menyeluruh. Semakin berusia, organnya juga menjadi tua. Jadi fungsinya menjadi perlahan atau mula gagal berfungsi. Ini termasuk:

l Penglihatan

l Pendengaran

l Pergerakan

l Tahap gula dan kolesterol

l Kesihatan tulang

2. Keadaan kesihatan mental ibu bapa

Mungkin ada ibu bapa yang mula menunjukkan simptom penyakit dementia atau nyanyuk. Penyakit ini bukan sebahagian daripada proses penuaan yang normal.

Jadi sebaiknya, bawa ibu bapa menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh secara berkala supaya tahap kesihatannya sentiasa terjaga. Ini adalah hadiah terbaik yang boleh anda berikan kepada mereka.

Ada ibu bapa menjadi murung kerana kesunyian. Walaupun mempunyai ramai anak dan cucu, ramai yang sibuk dengan kehidupan masing-masing hingga terlupa orang tua di kampung. Maka, cari masa untuk menjenguk ibu bapa.

Jika kita boleh meluangkan masa bercuti ke sana sini atau melakukan pelbagai aktiviti yang diminati, tentu kita juga mampu memperuntukkan masa buat mereka. Ingat, jika kita berkira masa untuk ibu bapa, tidak mustahil satu hari nanti anak-anak juga akan kedekut meluangkan masanya untuk kita.

3. Masalah ‘kebocoran’ kencing

Masalah ini biasa dialami orang tua khususnya wanita yang mempunyai ramai anak. Lelaki yang mengalami masalah kelenjar prostat juga boleh berdepan masalah kebocoran kencing ini. Ibu bapa mungkin malu hendak memberitahu anak mengenainya. Jadi, anda yang perlu bertanya.

Belajar cara menguruskan masalah kebocoran kencing ini khususnya dari segi agama. Beri maklumat ini kepada ibu bapa supaya mereka dapat mengerjakan ibadat dengan yakin dan selesa.

4. Kudrat ibu bapa

Anak-anak perlu faham kudrat ibu bapa tidak lagi sekuat ketika muda meskipun mereka tidak menghidap apa-apa penyakit. Walaupun sudah semakin lemah, ibu bapa tetap mahu berdikari dan menguruskan kehidupan sendiri.

Berikan sokongan semampu mungkin dari segi kewangan atau peralatan. Tanpa sokongan ini, keupayaan ibu bapa untuk berdikari akan terbatas dan ia boleh mencetuskan kesedihan atau kemurungan.

Jadilah anak yang prihatin dengan keperluan ibu bapa. Anak yang tidak prihatin tidak akan melakukan apa-apa untuk memudahkan sisa hidup ibu bapa. Ini adalah satu kesilapan besar yang mungkin tidak disedari.

5. Harga diri

Sering kali ibu bapa yang sudah tua terasa diri dipinggirkan apabila anak-anak tidak lagi mendapatkan pandangannya khususnya ketika membuat keputusan membabitkan mereka. Apabila kita membuat perancangan penjagaan untuk ibu bapa, minta pendapat mereka supaya kedua-dua orang tua tidak berasa kecil hati.

Malah tidak salah kita meminta pandangan mereka walaupun untuk perkara kecil. Tanpa kita sedar rasa dihargai ini memberi kesan besar kepada emosi ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 6:05 AM