GELAGAT kucing memberi ilham kepada Bandhita.
GELAGAT kucing memberi ilham kepada Bandhita.
RANGKUMAN lukisan karya indah bermain warna milik Rapeepat yang dipamerkan di MGTF, USM.
RANGKUMAN lukisan karya indah bermain warna milik Rapeepat yang dipamerkan di MGTF, USM.
Zuhainy Zulkiffli


Istimewanya pameran karya seni cetak di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang kali ini ialah gabungan dua artis yang juga tenaga pengajar di Universiti Rajabhat Songkhla, Thailand.

Pameran ‘Two Series of Artwork from Thailad - Space of Happiness and Trees Of Spirit’ memaparkan perasaan dan dalaman berbeza melalui persembahan hasil karya Bandhita Worasri serta Rapeepat Phonrattanapaiboon.

Bagi Bandhita, karya diketengahkan kali ini menggambarkan kebahagiaan dalam hidup yang bermula, berlaku di sekeliling dan di dalam rumah.

Tenaga pengajar dalam bidang seni halus itu berkata, lukisan seni cetak menggunakan dua teknik berbeza iaitu ‘drypoint’ dan ‘etching’, antaranya memaparkan aksi comel si kucing.

“Konsep ini menggambarkan simbol kebahagiaan dan kegembiraan dalam kehidupan mudah setiap hari dan saya percaya ia adalah elemen utama dalam kehidupan kita.

“Bidang ini menjadi semakin meluas, oleh itu saya turut persembahkan karya ini dalam dua dan tiga dimensi lukisan dan seni cetak,” katanya.

Sementara itu, Rapeepat pula mengetengahkan karya sarat dengan tenaga minda dan dalaman bagi dikongsi dengan orang ramai yang meminati konsep terbabit.

Karya dihasilkan Rapeepat mudah dikenali dengan penggunaan elemen bergaris, titik, warna, nilai, ruang dan tekstur, malah warna terang yang digunakan turut memberi kelainan serta imej tersendiri.

Katanya, pada pameran kali ini mengetengahkan 34 lukisan yang dihasilkan menggunakan medium akrilik cat minyak pada kanvas.

“Tree of Spirit adalah hasil karya seni penuh perlambangan dan saya memilih simbol ‘lingga’ dan ‘yoni’ dalam agama Brahman sebagai pokok kepada suasana ketenteraman dan keamanan.

“Karya dipersembahkan menerusi simbol dilukis begitu indah dengan lingga sebagai tubuh atau batang yang dikelilingi yoni sebagai daun,” katanya.

Pameran yang berakhir pada 5 Mei depan itu dirasmikan Timbalan Naib Canselor Bahagian Pendidikan dan Inovasi USM Prof Dr Muhammad Jantan dan Pengarah MGTF Zolkurnian Hassan.

Pameran ‘Two Series of Artwork from Thailand’ itu diadakan setiap tahun dengan tema berlainan dan ia menjadi aktiviti kerjasama erat antara Malaysia yang diwakili USM dan universiti seluruh Thailand.

Program bersifat pendidikan dan pembangunan modal insan lestari melalui seni dan warisan budaya itu bukan sahaja menjadi medan perkongsian ilmu dan pendapat, malah lebih fokus kepada ilmu multi disiplin daripada kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 11:28 AM