SALIM di samping sebahagian hasil karya seninya.
SALIM di samping sebahagian hasil karya seninya.
Syed Ismail Syed Abu Bakar


Pemandangan alam semula jadi indah dengan langit membiru menjadi inspirasi karya seni landskap bekas kakitangan Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM), Salim Ibrahim.

Salim, 53, mengetengahkan teknik baru lukisan akrilik dalam mencapai dimensi karya seninya, sekali gus berjaya menghasilkan lukisan realistik dengan gambaran alam semula jadi me­ngagumkan di kediamannya di Kampung Sungai Batu, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Tidak hairanlah alam semula jadi seperti hutan dan haiwan antara subjek kegemaran Salim dalam seni lukisannya selepas menamatkan perkhidmatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.

Baginya, keindahan warna-warni bunga dan alam semula jadi ciptaan Ilahi tidak terbanding indahnya, malah keunikan dan kepelbagaian rupa alam sangat mempesonakan.

Menyingkap pembabitannya dalam seni lukisan, Salim berkata, ia bermula dengan minat mendalam seawal usia 11 tahun dan mula dikesan gurunya di sekolah rendah iaitu Asa Mohd Nor yang kebetulan tinggal berjiran dengannya.

“Dari situlah kerjaya melukis ini bermula, sekali gus mendapat upah daripada guru dengan melukis di atas kertas stensil yang memerlukan gambar untuk tujuan nota pelajaran dan kertas soalan peperiksaan.

“Bagi setiap set nota pelajaran dilukis, upah diterima hanyalah sekadar dua kuih dan segelas minuman sirap, namun ia jelas menimbulkan kepuasan selepas melihat hasil kerja saya terpampang dalam setiap nota pelajaran dan kertas soalan peperiksaan yang diedarkan kepada setiap murid,” katanya.

Selepas meninggalkan bangku sekolah, bakat melukis tidak terhenti di situ saja, malah diteruskan ketika bertugas di MGTF dengan tumpuan dalam bidang grafik.

“Ketika berada di USM bagaikan ‘ayam dibawa ke kepuk’ kerana pendedahan terhadap lukisan daripada pelukis termashyur yang menjadi koleksi muzium membuat minat melukis saya kembali berputik.

“Jika sebelum ini medium digunakan sekadar kertas stensil dengan sebatang pen, namun ia berubah kepada kanvas dengan pelbagai warna dan saiz berus,” katanya.

Beliau berkata, banyak hasil karyanya berunsur alam sekitar mendapat perhatian pencinta seni lukisan, malah ada yang dijual pada harga sewajarnya.

Katanya, ketika ini, lebih 50 koleksi lukisan menjurus kepada alam semula jadi dan haiwan menjadi pilihannya yang kini aktif selepas bersara.

“Saya lebih cenderung untuk menghargai keindahan alam semula jadi ciptaan Yang Maha Esa dan kebiasaannya sanggup berada di tempat indah khusus untuk merasai, melihat serta menikmati suasana yang cukup menambat hati ini.

“Saya banyak menghabiskan masa berkarya ketika malam kerana suasananya lebih mendamaikan bagi menghasilkan sesuatu karya. Malah, hasil lukisan saya pernah dipamerkan menerusi pameran bergerak hasil inisiatif MGTF untuk mengetengahkan bakat kakitangan USM dalam dunia seni berkaitan.

“Bagi saya setiap goresan dan lakaran memiliki makna mendalam menerusi lukisan akrilik bertemakan alam flora dan fauna bagi membolehkan masyarakat terus menghargainya. Ekspresi ilham seni tidak semudah berfikir atau berimaginasi, sebaliknya perlu hadir ke dunia sebenar bagi menghayatinya sepenuh hati,” katanya.

Jika diberikan peluang untuk mempamerkan hasil lukisannya, Salim berkemungkinan akan menimbangkannya termasuk menjual hasil karya khususnya kepada pencinta seni.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 5:01 AM