Mohd Hilmie Hussin


HENRY Butcher Art Auctioneers (HBAA) berjaya meraih jualan RM2.6 juta menerusi lelongan seni lukisan yang dipamerkan di Galeri Prima NSTP, Kuala Lumpur, hari ini.

Pameran bertajuk ‘Malaysian and Southeast Asian Art’ yang bermula Jumaat lalu menyaksikan 188 hasil kerja terbaik artis terkemuka tempatan dan Asia Tenggara dilelong.

Pengarah HBAA, Sim Polenn berkata, di sebalik kelembapan ekonomi, pihaknya berpuas hati dengan lelongan yang berjaya mencapai RM2.6 juta biarpun agak merosot berbanding siri lelongan sama tahun lalu.

“Kemerosotan tidak terlalu besar, namun pencapaian dicapai sepanjang tahun ini secara keseluruhannya tetap baik kerana ianya meningkat saban tahun.

“Pada tahun pertama sepanjang 2016 kita berjaya mencapai jualan RM3.4 juta diikuti RM3.3 juta (2017), RM5.8 juta (2018) dan tahun ini RM7.5 juta. Saya rasa lokasi pameran di Galeri Prima ini cukup strategik,” katanya ketika ditemui selepas sesi lelongan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, empat karya tempatan mendapat bidaan tertinggi hari ini.

Lukisan bertajuk ‘Mindscape, 1983’ karya Abdul Latiff Mohidin paling tinggi dibida iaitu RM313,000.

Lukisan kedua tertinggi terjual adalah ‘Imitating The Woods, 2004’ karya Ahmad Fuad Osman dan karya Yusof Ghani bertajuk ‘Siri Tari, 1988’ pada harga RM123,000.

Satu lagi karya tempatan bertajuk ‘Two Women, 1986’ dihasilkan Chang Fee Ming dibeli pada harga RM112,000.

Sim berkata, 16 karya pelukis seluruh Asia Tenggara yang dilelong untuk tujuan kerja amal bagi menubuhkan sekolah seni di Kemboja menerusi Projek Blue Art Centre (BAC) berjaya dijual dan mengutip RM246,900.

Lelongan berlangsung sepanjang hari ini menyaksikan lelongan dibuat secara bersemuka, atas talian dan menerusi wakil bidaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 7:36 PM
PAMERAN lukisan bertajuk ‘Malaysian and Southeast Asian Art’ dan lelongan di Galeri Prima NSTP, Kuala Lumpur. FOTO MAHZIR MAT ISA
PAMERAN lukisan bertajuk ‘Malaysian and Southeast Asian Art’ dan lelongan di Galeri Prima NSTP, Kuala Lumpur. FOTO MAHZIR MAT ISA