SENI visual bertemakan ‘Panglima Bukit Sadok’ dipaparkan.
SENI visual bertemakan ‘Panglima Bukit Sadok’ dipaparkan.
LIHAT lebih dekat terabai atau perisai.
LIHAT lebih dekat terabai atau perisai.
SALAH satu lukisan mengenai keaslian wanita Sarawak pada pameran ‘Virtual Realiti dan Alam Maya’.
SALAH satu lukisan mengenai keaslian wanita Sarawak pada pameran ‘Virtual Realiti dan Alam Maya’.
OBJEK ‘terabai’ atau perisai yang menjadi kebanggaan pahlawan Sarawak turut dipaparkan.
OBJEK ‘terabai’ atau perisai yang menjadi kebanggaan pahlawan Sarawak turut dipaparkan.
Syed Ismail Syed Abu Bakar


Rakaman perjalanan pelukis seni halus Panglima Bukit Sadok menjadi antara tema pameran pelajar doktor falsafah (PhD) jurusan Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM), Aloysius Yapp, 39, bersama sebahagian koleksi Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) di kampus Minden, baru-baru ini.

Walaupun namanya tidak gah berbanding Seniman Negara, sumbangan dan kehadiran Aloysius dalam dunia seni halus Malaysia amat dihargai. Apatah lagi karyanya menzahirkan pengalaman, keunikan, intelek selain faktor kegigihannya sendiri dalam berkarya.

Pameran bertemakan ‘Pemuliharaan, Persembahan, Pengenalan Kebudayaan Tempatan dengan Virtual Realiti dan Alam Maya’ menampilkan 25 karya Aloysius sejak mula menjalankan penyelidikan mengenai budaya tempatan selama tempoh 10 tahun sehingga berjaya memperoleh ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dengan kerjasama MGTF, USM.

Hasil lukisan Aloysius memiliki kekuatan mesej dan maksud tersirat yang menggalakkan pemerhati membuat tafsiran sendiri. Ia antara lain menjurus berkaitan Panglima Bukit Sadok di Sarawak yang sebelum ini terpisah dengan aliran sungai dan kembali bersatu.

Mengikut penceritaan karya Aloysius, plot Panglima Bukit Sadok yang dipamerkan menerusi seni visual menunjukkan segalanya bermula daripada pencerobohan rejim James Brooke ke Borneo yang akhirnya menjurus kepada peperangan demi peperangan.

Malah, ramai panglima disatukan dan bertahan di Bukit Sadok dan buat pertama kalinya rejim Brooke menubuhkan bala tentera yang kuat dalam persediaan ekspedisi ketiga di Sarawak.

Sekitar 1850 hingga 1860 ramai pahlawan Iban mendapatkan ilmu peperangan dan pertahanan daripada mereka yang berasal daripada babas Sebayan atau hutan.

Bagi menghidupkan karya, beberapa artifak turut dipaparkan dengan mengetengahkan dimensi lain termasuk senjata digunakan ketika pemancungan kepala atau ngayau bagi menguatkan semangat kepahlawanan demi penentangan rejim Brooke.

Aloysius yang kini bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Industri Kreatif, Universiti Tunku Abdul Rahman, Petaling Jaya, Selangor menganggap kebanyakan hasil lukisannya sebagai satu bentuk dokumentasi boleh dijadikan rujukan pihak lain pada masa depan.

Sementara itu, Kurator MGTF USM, Afzanizam Mohd Ali berkata, pameran itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana terdapat karya belum pernah dipertontonkan kepada khalayak ramai.

“Paling penting, semua karya ini dapat didokumentasikan dan diterbitkan sebagai bahan rujukan komprehensif dalam subjek seni dan budaya.

“Kami berharap pameran seumpama itu dapat meningkatkan kesedaran kepada generasi baru dalam mempergiatkan seni lukisan yang mempunyai nilai warisan dan kebudayaan,” katanya.

INFO

• Tajuk Pameran: Pemuliharaan, Persembahan, Pengenalan Kebudayaan Tempatan dengan Virtual Realiti dan Alam Maya.

• Artis: Aloysius Yapp

• Lokasi: Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM), Minden, Pulau Pinang.

• Tarikh Pameran: 15 Jun hingga 12 Ogos 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 12:37 PM