Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Laporan bedah siasat murid Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Mohamad Thaqif Amin Gaddafi, 11, dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, ia bakal merungkai punca kematian sebenar Allahyarham.

Menurutnya, proses bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) bermula 6.30 petang semalam hingga 10 malam.

Katanya, pihaknya difahamkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga menggesa supaya laporan dipercepatkan namun ia bergantung kepada kesediaan pengurusan hospital, polis dan pihak berkaitan.

"Bedah siasat dijalankan untuk mencari kebenaran dan akan menentukan punca kematian arwah, apa masalah kesihatan dialami sama ada ia penyakit atau sebaliknya serta kesan-kesan terdapat pada tubuh jenazah.

"Saya berharap netizen menghentikan sebarang spekulasi, tidak membuat keputusan sendiri selain tidak menghukum segenap pihak kerana siasatan masih dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media di Program Promosi Kesihatan Pergigian dan Pelancaran Carta Flip Bahasa Isyarat Kesihatan Pergigian bagi Golongan Berkeperluan Khas (Pendengaran) Negeri Johor di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Johor juga sudah menjalankan saringan kesihatan terhadap murid dan pelajar lain di tahfiz madrasah berkenaan dan mendapati mereka dalam keadaan sihat, kata Ayub.

Berita berkaitan:

Adik Thaqif sudah tiada [METROTV]

Syurga menantimu dik...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 11:34 AM