FELDA Wani melihat kandungan akhbar mengenai laporan perubatan mengenai punca kematian anaknya disiarkan akhbar hari ini. - Gambar MOHD SABRAN MD SANI
FELDA Wani melihat kandungan akhbar mengenai laporan perubatan mengenai punca kematian anaknya disiarkan akhbar hari ini. - Gambar MOHD SABRAN MD SANI
Mohd Sabran Md Sani


KELUARGA pelajar madrasah tahfiz Al-Jauhar, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi, 11, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 26 April lalu, terguris dengan komen netizen berkaitan laporan bedah siasat mangsa.

Ibunya, Felda Wani Ahmad, 40, berkata dia dan suami, Mohd Gadaffi Mat Karim, 45, tidak mampu menutup segala kata-kata berkenaan, namun menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes itu.

Katanya, dia tidak menyalahkan sepenuhnya kejadian berkenaan kepada pihak madrasah, namun semua laporan polis dibuat berdasarkan kenyataan dibuat anaknya kepada pihak berkuasa.

"Saya ada terbaca komen di Facebook (FB) mengatakan anak saya sakit bukan disebabkan sebatan dan saya pun tidak menyalahkan 100 peratus, namun kejadian itu berlaku sepanjang dia berada di madrasah itu.

"Arwah yang disoal polis, menyatakan dia pernah disebat dan berdasarkan perkara itu jugalah saya membuat laporan polis dia disebat, bukan saya mereka-reka cerita," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram, hari ini.

Felda Wanita berkata demikian mengulas tindakan pihak mempertikaikan laporan polis dibuatnya yang mengaitkan kematian anaknya akibat perbuatan jenayah.

Ia berikutan keputusan bedah siasat terhadap pelajar berkenaan mendapati kematian kanak-kanak itu disebabkan kencing tikus (Leptospirosis).

Felda Wani yang juga guru Sains Sekolah Kebangsaan Bukit Tiram berkata, terserah pada sesiapa saja pihak untuk mempersoalkan tindakannya bersama suami membuat laporan polis berdasarkan maklumat diberikan arwah anaknya itu.

Katanya, dia reda dengan kematian anak ketiga daripada lima beradik itu namun tidak berpuas hati dengan cara kematiannya itu.

Katanya, mereka sekeluarga masih menunggu laporan bedah siasat punca kematian anaknya itu daripada pihak bertanggungjawab, bukannya daripada pihak ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 5:57 PM