Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Operasi penguatkuasaan lampu HID dan lampu strob akan diteruskan seperti yang ditetapkan manakala operasi nombor pendaftaran akan dijalankan dengan memberi fokus terhadap pesalah yang melanggar undang-undang secara serius sahaja.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan berkata, usaha advokasi akan dipertingkatkan pihaknya bagi memastikan masyarakat memahami pentingnya garis panduan berkenaan.

"Perkara ini penting berdasarkan maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mendapati kesalahan seperti melanggar had laju, lampu isyarat merah, penggunaan telefon sewaktu memandu dan lain-lain kesalahan memberi kesan kepada pengguna jalan raya," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut pada masa kini kamera penguatkuasaan tidak mampu mengesan pesalah yang menggunakan nombor pendaftaran yang tidak menepati spesifikasi.

Kenyataan itu menambah, objektif operasi adalah semata-mata bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 7:54 PM