REYES (bawah) tertampan bola ke gawang sendiri.
REYES (bawah) tertampan bola ke gawang sendiri.
AFP

Madrid: Atletico Madrid merapatkan jurang dengan pendahulu La Liga Barcelona kepada lima mata selepas menang mudah 3-0 ke atas Real Sociedad, awal pagi semalam.

Permulaan gemilang tuan rumah terserlah apabila Diego Reyes tertampan hantaran leret Koke ke dalam golnya sendiri selepas hanya lapan minit.

Sepakan voli akrobatik Saul Niguez menggandakan kelebihan Atletico seminit babak kedua berlangsung sebelum sepakan penalti Antoine Griezmann melengkapkan jaringan.

“Kami memulakan perlawanan amat bagus dari bahagian tengah ke serangan yang membuka permainan buat kami,” ujar bos Atletico Diego Simeone.

“Amat sukar membayangkan Barcelona tewas perlawanan mereka. Tapi kami perlu menumpukan kepada diri sendiri dan membaiki standard kami.”

Mendapat rangsangan selepas menang ke atas Real pada pertembungan jiran setempat ibu negara Sabtu lalu, Atletico bermula penuh keyakinan dan sepatutnya memusnahkan cabaran lawan sebelum rehat babak pertama.

Gol pembukaan hadir apabila hantaran leret berbahaya Koke dari kanan mencetus kekeliruan antara Reyes dan penjaga gol Geronimo Rulli dan pertahanan Mexico itu tertampan bola ke dalam gawang sendiri.

Rulli kemudian menebus kesilapan itu dengan satu tindakan penyelamat menarik daripada Griezmann dan Luciano Vietto, sekalipun hakikatnya kedua-dua penyerang merembat tepat ke arah penjaga gol itu.

Atletico akhirnya meraih gol kedua dengan serangan pertama babak kedua apabila hantaran lambung Vietto disambut Saul dan sepakan guntingnya terlalu kuat buat Rulli.

Griezmann muncul wira Atletico hujung minggu lalu dan dia berpeluang melengkapkan jaringan menentang bekas kelabnya apabila dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Antonio de la Bella selepas sejam.

Pemain kebangsaan Perancis itu mudah memperdaya Rulli bagi menyumbat gol ke-21 musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 7:57 AM