Sanabria (kiri) jaring gol tunggal perlawanan ketika menentang Real. -Foto AFP
Sanabria (kiri) jaring gol tunggal perlawanan ketika menentang Real. -Foto AFP
AFP

MADRID: Antonio Sanabria menyumbat gol pada masa kecederaan bagi membantu Real Betis melakar kemenangan mengejut 1-0 ke atas Real Madrid di gelanggang lawan ketika juara Eropah itu gagal menjaringkan gol buat kali pertama dalam 74 perlawanan.

Kekalahan itu menyebabkan Real sudah ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Barcelona selepas hanya lima perlawanan kempen mempertahankan kejuaraan La Liga apabila gagal menang dalam tiga aksi di laman sendiri setakat ini musim ini.

Malah kehadiran Cristiano Ronaldo sekembalinya daripada penggantungan lima perlawanan domestik tidak mampu memecah kekebalan Betis ketika bekas penjaga gol Real, Antonio Adan bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan Isco, Toni Kroos dan Gareth Bale.

Betis memastikan tiga mata pada minit ke-93 apabila Sanabria menanduk kencang hantaran silang Antonio Barragan.

“Tahun lalu kami menang beberapa perlawanan yang kami tidak berhak menang dan kini ia terbalik,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane.

“Liga ini amat panjang, akhirnya kami akan melihat bagaimana ia berlalu tapi kami perlu bertenang dan kami sedar akan ada hari-hari yang lebih bagus buat kami.”

Ia kali pertama Betis menang di Santiago Bernabeu sejak 1998.

“Agak mustahil untuk menang di sini tanpa menderita,” ujar bos Betis, Quique Setien.

“Untuk menang menentang pasukan sebegini, penjaga gol anda perlu bertindak luar biasa dan anda juga perlukan tuah.”

Terdahulu, Atletico Madrid meraikan kejayaan dianugerah sebagai hos final Liga Juara-Juara 2019 dengan kemenangan 2-1 di Athletic Bilbao sekali gus melonjak ke tangga ketiga.

Pelawat bergantung kepada kehebatan penjaga gol Jan Oblak yang menafikan sepakan penalti Aritz Aduriz sebaik sebelum rehat.

Angel Correa membuka tirai jaringan 10 minit selepas rehat dengan menyudahkan gerakan mantap membabitkan Antoine Griezmann dan Saul Niguez.

Yannick Carrasco memastikan tiga mata dengan penamat dari sudut sukar menerusi satu lagi lorongan Griezmann pada minit ke-73 sebelum Raul Garcia menyumbat gol sagu hati lewat buat tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 11:03 AM