OBLAK berjaya tepis cubaan Bale.
OBLAK berjaya tepis cubaan Bale.
Reuters

Madrid: Penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak mempamerkan aksi mengagumkan untuk mengekang juara bertahan Real Madrid dan membantu pasukannya seri 0-0 pada pertembungan suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Calderon, awal pagi semalam.

Oblak, penjaga gol Slovenia, melakukan beberapa tindakan penyelamat menakjubkan menentang pasukan yang menundukkan Atletico pada final musim lalu bagi mengukuhkan peluang juara Sepanyol itu layak ke separuh akhir menjelang pertemuan timbal balik di Bernabeu minggu depan.

Atletico unggul dalam enam pertemuan jiran setempat musim ini namun Real lebih banyak menguasai permainan dan pasti kecewa kerana gagal sekurang-kurangnya meraih satu gol di tempat lawan.

Gareth Bale mencipta peluang terbaik seawal minit ketiga apabila dia berseorangan selepas kesilapan Diego Godin, namun Oblak meluru keluar dan menahan sepakan bintang Wales itu.

“Saya amat puas hati seperti rakan sepasukan lain kerana kami bekerja keras dan ia perlawanan yang amat sengit, namun cabaran kami masih belum berakhir,” kata Oblak.

“Sudah tentu anda mahu menjaringkan gol dan menang, tapi penting juga kami tidak dibolosi di laman sendiri,” jelasnya. “Saya tidak tahu yang mana satu pasukan pilihan sekarang. Real sebuah pasukan hebat dengan ramai pemain hebat.”

Real menekan Atletico sejak wisel ditiup pada pertembungan jiran setempat edisi ke-260 itu dan selepas dua kali menafikan Bale, Oblak turut menyelamatkan percubaan Cristiano Ronaldo dan James Rodriguez.

Peluang tunggal Atletico pada babak pertama diperoleh Antoine Griezmann namun sepakan lemah pemain Perancis itu terlalu mudah buat Iker Casillas di pintu gol Real.

Penyerang Atletico dari Croatia, Mario Mandzukic menjadi tumpuan apabila luka kepala berikutan pertembungan dengan Sergio Ramos sebaik selepas rehat, namun mampu meneruskan aksi selepas menerima rawatan.

Pemain tengah Atletico, Mario Suarez dan pertahanan Real, Marcelo kedua-duanya menerima kad kuning dan digantung bagi perlawanan pada 22 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 9:15 AM