COSTA (tengah) meraikan jaringannya bersama Atletico. -Foto EPA
COSTA (tengah) meraikan jaringannya bersama Atletico. -Foto EPA
AFP

MADRID: Diego Costa meledak gol buat Atletico Madrid hanya selepas lima minit sejak kembali menyarung jersi kelab lamanya itu sekali gus mencatat kemenangan 4-0 ke atas Lleida Esportiu dalam aksi Piala Raja Sepanyol awal pagi tadi.

Costa yang kembali menyertai Atletico dari Chelsea pada September dan hanya dapat beraksi ketika jendela perpindahan bermula awal bulan ini, diturunkan sebagai pemain gantian pada minit ke-64 dan menjaringkan gol ketiga Atletico pada minit ke-69 untuk aksi pertama kelompok 16 terakhir.

Bintang Sepanyol itu memulakan gerakan yang mencetuskan jaringan peribadi apabila meluru pantas dan melakukan hantaran sebelum Juanfran melorongkan bola rendah yang membolehkan dia melepasi penjaga gol Lleida, David Oliveros.

Costa kelihatan seolah-olah mengalami kecederaan ketika cuba menjaringkan gol itu tetapi terus bertahan untuk menghabiskan perlawanan.

“Kepulangan Costa menaikkan semangat kami,” kata jurulatih Atletico, Diego Simeone.

“Dia memberikan kami kelajuan, kekuatan serta fizikal dan itulah yang kami harapkan daripadanya.”

Dua gol dalam tempoh empat minit pada separuh masa pertama daripada Diego Godin dan Fernando Torres memberikan Atletico kemenangan selesa ke atas pasukan divisyen ketiga, Lleida. Godin menanduk masuk sepakan percuma pada minit ke-33 manakala Torres menggandakan jaringan tidak lama kemudian apabila menolak masuk hantaran Kevin Gameiro.

Antoine Griezmann melengkapkan kemenangan pada minit akhir apabila sepakan percuma yang diambilnya gagal diselamatkan Oliveros sekali gus memberikan skuad Simeone kelebihan mutlak menjelang aksi kedua Selasa depan di Wanda Metropolitano, Madrid.

Barcelona dan Real Madrid bakal beraksi dalam aksi pertama masing-masing menentang Celta Vigo dan Numancia di mana jurulatih Barca, Ernesto Valverde dijangka merehatkan Lionel Messi dan Luis Suarez - kedua-duanya pulang lewat daripada bercuti di Amerika Selatan, begitu juga dengan kapten Andres Iniesta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 10:25 AM