NAJIB meletakkan logo Minggu Saham Amanah 2017 ketika majlis perasmian. Turut bersama Adnan (dua kanan), Abdul Wahid (kiri) dan Abdul Rahman. FOTO Mohd Yusni Ariffin
NAJIB meletakkan logo Minggu Saham Amanah 2017 ketika majlis perasmian. Turut bersama Adnan (dua kanan), Abdul Wahid (kiri) dan Abdul Rahman. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Temerloh: Permodalan Nasional Berhad (PNB) kini menjadi institusi yang boleh dibanggakan rakyat sejak penubuhannya 36 tahun lalu kerana ia mencapai objektif pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang diasaskan pemimpin terdahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, melalui institusi itu rakyat sama ada di bandar mahupun luar bandar dapat menikmati limpahan ekonomi selain pengagihan dividen dan bonus setiap tahun.

"PNB adalah inisiatif kerajaan dalam perjuangan untuk menebus maruah negara termasuk membeli syarikat yang sebelum ini milik orang asing tetapi kini milik rakyat Malaysia.

"Ia sekali gus membuka minda bahawa kita memang boleh lakukan pembaharuan dan penstrukturan semula ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah (MSAM) 2017 di Dataran Temerloh, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar; dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

MSAM 2017 yang bertemakan Pelaburan 360 PNB membuka tirainya hari ini sehingga 25 April ini dan dijangka menarik kehadiran lebih 150,000 orang dengan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan bermatlamat memperkasa ilmu masyarakat mengenai pelaburan dan perancangan kewangan.

Pada majlis sama, Najib turut menyampaikan sumbangan PNB sebanyak RM700,000 bagi menaik taraf Pusat Hemodialisis Mentakab dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr Sha'ri Ngadiman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 2:06 PM