TUN Arifin (kiri) bersama Ahmad Zulqarnain meletakkan plak sebagai gimik perasmian pada majlis Minggu Saham Amanah Malaysia 2022 (MSAM 2022) di Pantai Batu 1.  FOTO BERNAMA
TUN Arifin (kiri) bersama Ahmad Zulqarnain meletakkan plak sebagai gimik perasmian pada majlis Minggu Saham Amanah Malaysia 2022 (MSAM 2022) di Pantai Batu 1. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Port Dickson: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini melancarkan dana unit amanah pendapatan tetap, ASN Sukuk sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022, di sini.

Pengerusi Kumpulan PNB Tun Arifin Zakaria berkata, dana harga berubah baharu itu memfokuskan kepada pelaburan dalam pelbagai portfolio Sukuk (instrumen pendapatan Islam) dengan 80 hingga 99 peratus daripada Nilai Aset Bersih dana tertumpu kepada aset kelas berkenaan termasuk Terbitan Pelaburan Kerajaan.

Katanya, dana sukuk pertama itu diperkenalkan sejajar dengan usaha Kumpulan PNB untuk memperluas rangkaian penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelabur dalam negara.

"ASN Sukuk menyasarkan pelabur dengan tahap toleransi risiko konservatif yang cenderung kepada pendapatan stabil dan mampan dalam jangka masa sederhana hingga panjang.

"Dengan pelancaran unit amanah ini iaitu tambahan kepada unit amanah sedia ada, ASNB kini menawarkan pelbagai produk yang terdiri daripada dana harga tetap, dana ekuiti, aset campuran terimbang dan dana konservatif dan terkini dana pendapatan tetap," katanya dalam ucapan sempena pelancaran MSAM 2022, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB Muzzaffar Othman berkata, dana baharu itu mempunyai beberapa ciri termasuk pelaburan minimum RM10 dengan pelaburan tambahan serendah RM1.

Beliau berkata mulai esok, pelabur boleh melanggan ASN Sukuk secara dalam talian di portal dan aplikasi mudah alih myASNB, perbankan internet, ejen ASNB atau perkhidmatan kaunter di semua cawangan di seluruh negara dengan harga tawaran permulaan RM1 seunit semasa tempoh tawaran permulaan selama 21 hari.

"ASN Sukuk adalah produk yang sesuai pada masa ini kerana kita tahu ekonomi kurang memberangsangkan berikutan kesan Covid-19.

"Oleh itu, untuk masa sekarang kita lancarkan ASN Sukuk ini untuk mengurangkan risiko dan ia adalah waktu terbaik untuk mereka yang ingin memulakan pelaburan," katanya.

MSAM 2022 yang juga acara literasi kewangan tahunan PNB berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini dan disertai oleh pelbagai syarikat strategik PNB termasuk Maybank Bhd, Sime Darby Plantation Bhd dan UMW Holdings Bhd.

Seramai 150,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan program yang bertemakan 'Melestarikan Pelaburan Ke Arah Masa Hadapan Mampan' selain pelbagai hadiah menarik bernilai hampir RM1 juta ditawarkan kepada pengunjung bertuah termasuk sebuah kereta elektrik Hyundai Kona e-Lite.

MSAM 2022 kali ini turut menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai kira-kira 50 pempamer daripada syarikat Kumpulan PNB, ejen ASNB, badan kawal selia serta agensi kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 2:32 PM