Ahmad Zahid bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali (kiri) beramah mesra dengan penunggang motosikal berkuasa tinggi ketika mengadakan lawatan ke ICQS. FOTO Amran Hamid
Ahmad Zahid bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali (kiri) beramah mesra dengan penunggang motosikal berkuasa tinggi ketika mengadakan lawatan ke ICQS. FOTO Amran Hamid
Meor Riduwan Meor Ahmad


Bukit Kayu Hitam: Kerajaan mengarahkan projek pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini yang terlewat 576 hari dipercepatkan melalui dua fasa pembinaan.

Difahamkan, ketika ini kedua-dua fasa berkenaan mencapai 26.7 peratus pembinaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi memenuhi dasar baru logistik negara khususnya Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) sebagaimana arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau sendiri akan datang semula dalam masa 45 hari lagi untuk melihat kemajuan projek berkenaan, katanya.

"Perkembangan projek ini harus dikemukakan kepada saya untuk dimaklumkan kepada Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis Ekonomi Negara dan Majlis Eksport Negara bagi melihat keberkesanan ICQS di Bukit Kayu Hitam," katanya pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, fasa 1 akan disiapkan pada Ogos dan sepanjang tempoh itu akan diadakan beberapa ujian terhadap laluan digunakan khususnya bagi kenderaan yang membawa masuk barangan ke Malaysia.

"Fasa kedua akan dilaksanakan dan siap sepenuhnya pada 31 Disember 2018," katanya.

Katanya, bagi pelaksanaan sepenuhnya akan membabitkan 19 jabatan diketuai Jabatan Imigresen dan dibantu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

"Projek ini bukan satu projek ditender secara langsung oleh kerajaan, tetapi dilakukan melalui PFI (Inisiatif Pembiayaan Swasta), mulanya dua syarikat tersohor diberi tender tetapi mengalami kekangan tertentu hingga kerajaan campur tangan.

"Apabila siap keseluruhan projek menelan kos RM425 juta," katanya.

Ahmad Zahid berkata, berhubung pelaksanaan pembukaan pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, Perlis selama 24 jam berbanding 18 jam sebelum ini sedang diperincikan dengan kerajaan Thailand sebelum dimuktamadkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 6:24 PM