Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Pasaran eksport industri getah dijangka mengalami pertumbuhan sederhana pada tahun ini berikutan keadaan ekonomi yang berkembang agak perlahan di Eropah, China dan Amerika Syarikat dengan nilai anggaran keseluruhan eksport berjumlah RM35.6 bilion.

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Dr Salmiah Ahmad berkata, industri getah menyumbang kira-kira 4.7 peratus atau RM33.73 bilion kepada pendapatan eksport negara pada 2013, merangkumi getah asli (RM7.03 bilion), barangan getah (RM14.62 bilion), kayu getah (RM6.83 bilion) dan lain-lain getah termasuk sintetik, sisa, tebus semula, sebatian dan tervulkan (RM5.26 bilion).

Menurutnya, prestasi eksport getah dan barangan getah bagi tahun lalu masih belum disahkan, namun ia dianggarkan mampu mencapai nilai sebanyak RM31.3 bilion dengan getah asli (RM5.5 bilion), barangan getah (RM14.8 bilion), lain-lain getah (RM4 bilion) dan kayu getah (RM7 bilion)

“Jumlah ini adalah tujuh peratus lebih rendah berbanding RM33.73 bilion pada 2013 di mana kemerosotan ini disebabkan kejatuhan harga getah asli hampir 26.1 peratus daripada RM7.75/kilogram pada tahun lalu kepada RM5.72/kilogram pada September 2014 (September) disumbang pertumbuhan pengeluaran lebih pantas dari permintaan dunia terhadap getah asli,” katanya.

Tahun lalu adalah tahun mencabar untuk sektor komoditi getah disebabkan harga getah tidak menggalakkan akibat lebihan stok di pasaran dan faktor permintaan yang lemah di negara pengguna utama getah seperti China.

Keadaan terbabit menyebabkan penurunan harga getah asli ke paras rendah di mana harga purata Getah Malaysia Standard (SMR) SMR 20 pada tempoh Januari hingga September 2014 adalah RM5.73/kilogram iaitu penurunan 28 peratus berbanding RM7.93/kilogram bagi tempoh sama pada 2013.

Beliau berkata, pengeluaran getah asli pada tahun lalu dijangka berjumlah 700,000 tan berdasarkan faktor terbabit di mana jumlah terbabit jelas menunjukkan pengurangan sebanyak 15 peratus atau 126,421 tan berbanding 826,421 tan pada 2013.

“Kami percaya jumlah itu mampu dicapai memandangkan jumlah pengeluaran getah asli sehingga September tahun lalu adalah sebanyak 523,000 tan meskipun ia menunjukkan penurunan ekoran kejatuhan harga getah dan tanam semula yang dipercepatkan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) sejak 2012,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:31 AM