Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur : Seorang bookie ditahan bagi membantu siasatan berhubung rasuah menentukan keputusan perlawanan bola sepak Liga Perdana Malaysia membabitkan kelab MISC-MIFA, petang tadi.

Lelaki berusia 49 tahun dan bekerja di sebuah kedai besi buruk itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang di sekitar ibu negara.

Sumber berkata, suspek menawarkan sejumlah wang dengan nilai beribu-ribu ringgit kepada pemain kelab itu untuk menentukan perlawanan.

“Suspek bekerja di kedai milik abangnya dan dia berkemungkinan menjadi individu yang bertanggungjawab mengatur salah laku rasuah dalam perlawanan itu," kata sumber.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kemungkinan ramai lagi yang ditahan.

SPRM semalam menahan tiga pemain bola sepak Malaysia Indian Football Association (MIFA) termasuk seorang pemain import kerana dipercayai mengambil rasuah daripada bookie.

Siasatan awal yang diperoleh, suspek menerima wang rasuah antara RM10,000 hingga RM 30,000 untuk menentukan keputusan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 7:59 PM