Mohd Roji Kawi


MAHKAMAH Majistret Petra Jaya, hari ini membebaskan dua pemain pasukan bola sepak Sarawak selepas direman enam hari kerana disyaki terbabit dalam aktiviti mengatur perlawanan.

Majistret Sandy Yvette Freddy membuat keputusan itu selepas Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkarnain Rousan Hasbi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak menemui bukti kukuh untuk mendakwa dua pemain terbabit bersama seorang lelaki yang disyaki bookie.

Dzulkarnain berkata, pasukan penyiasat SPRM sudah menjalankan siasatan rapi sepanjang dua pemain dan individu terbabit direman sejak Jumaat lalu.

"Tempoh tahanan reman semua suspek tamat hari ini dan pasukan penyiasat tidak berhasrat untuk memohon lanjut tempoh reman dan memohon mahkamah membebaskan semua suspek dengan jaminan SPRM," katanya.

Sejurus Sandy mengumumkan keputusan, kira-kira 50 ahli keluarga serta penyokong kedua-dua pemain itu yang menunggu di luar mahkamah bersorak sebagai tanda sokongan.

PEGAWAI SPRM mengiringi dua pemain bola sepak Sarawak dan bookie yang dibebaskan daripada reman, hari ini. FOTO Jannah Kho
PEGAWAI SPRM mengiringi dua pemain bola sepak Sarawak dan bookie yang dibebaskan daripada reman, hari ini. FOTO Jannah Kho

Sebelum ini, mereka ditahan SPRM selepas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengeluarkan kenyataan pada 11 Februari lalu mendakwa wujud kegiatan mengatur perlawanan Liga Perdana membabitkan Sarawak menentang Felcra United.

Pada perlawanan itu, Sarawak mendahului 2-0 menerusi jaringan Bobby Gonzales pada minit ke-23 dan Mateo Roskam pada minit ke-34.

Bagaimanapun, pelawat kemudian memperolehi gol menerusi Anselmo Arruda pada minit ke-88.

Anselmo kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-92 masa kecederaan sebelum menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 12:44 PM