Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Dua penyelia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan memberi rasuah kepada dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung aktiviti perlombongan pasir tanpa lesen.

K Mohan, 42, dan How Ah Lai, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mohan didakwa memberi suapan wang tunai berjumlah RM2,000 kepada penolong kanan penguasa SPRM sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang menjadi penyelia di tapak perlombongan pasir tidak berlesen.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Tanah Rizab Kerajaan, Taman Selatan, Presint 20, Putrajaya pada 1.10 tengah hari 11 Februari 2016.

Manakala How pula didakwa memberi rasuah RM300 kepada pegawai SPRM sebagai dorongan tidak melaporkan perbuatan lori membawa muatan pasir keluar daripada kawasan perlombongan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tapak perlombongan Presint 20, Putrajaya, antara 1 hingga 1.30 tengah hari pada hari sama.

Mohan dan How didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Mohan diikat jamin RM15,000 dan RM10,000 untuk How serta menetapkan 8 Mei untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 1:08 PM
HOW Ah Lai (dua kanan) dan K Mohan (tiga kanan) dibawa anggota SPRM bagi menghadapi pertuduhan rasuah. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
HOW Ah Lai (dua kanan) dan K Mohan (tiga kanan) dibawa anggota SPRM bagi menghadapi pertuduhan rasuah. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali