Foto Shahril Badri 

PENOLONG Pengurus Jabatan Pengarang akhbar The Star mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menerima suapan RM20,000 daripada seorang lelaki minggu lalu.

M Youganesparan, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima suapan RM20,000 daripada Mohd Emir Mavani Abdullah, 54.

Wang itu kononnya untuk diberi kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai dorongan kepada pegawai SPRM itu menyelesaikan kes berkaitan Mohd Emir yang disiasat SPRM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Dome Cafe Lot G20, Vista Power, The Intermark, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, pada 9.15 malam, 30 Mei lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum bawah seksyen 24 akta sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 11:17 AM