Selepas muncul juara Malaysian Idol musim pertama, akhirnya Jaclyn Victor atau Jac kembali dengan album Inggeris pertamanya.

Lebih menarik, ia me­nyaksikan kerjasamanya dengan komposer terkenal Edry Abdul Halim selain dilihat mampu membawanya mencipta nama di pentas antarabangsa.

Album ini turut menampilkan lagu istimewa Magical Moment apabila dia berduet dengan kumpulan R & B terkenal Amerika Syarikat Az Yet. Lagu berkenaan turut membawa kepada perkahwinan Jac dengan seorang anggotanya iaitu Shawn Rivera.

Selain Magical Moment, album ini turut memuat­kan lima lagu iaitu Over And Over, Delirious, Pinnacle, Sweeter Than A Dream dan Remedy.

Yang pasti, kekuatan vokal Jac adalah taruhan utama album ini.

Kerja gubahan muzik dan 'sound' album ini juga berjaya dilakukan de­ngan baik dan layak untuk dibawa ke pentas antarabangsa. Tahniah untuk Edry kerana melakukan kerja penerbitan yang berkualiti.

Sememangnya sejak dulu saya memang hormat dengan KRU apabila membabitkan soal teknikal dalam setiap album terbitan mereka.

Malah, lagu ciptaan Edry kali ini juga lari daripada muzik tipikal KRU yang boleh kita dengar dalam album terbitan mereka terdahulu seperti Feminin, Forteen dan Tyco.

Hanya masa dan usaha yang boleh menentukan Jac mampu menyinar di peringkat antarabangsa menerusi album ini.

INFO:

ARTIS: Jaclyn Victor

ALBUM: Unleashed

TERBITAN/EDARAN: KRU Music/Sony Music

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:01 AM