Oleh Georgie Joseph

Pemergian penyanyi bersuara lantang ini ke Amerika Syarikat (AS) Julai lalu memang tidak disangka akan membawa perkhabaran gembira. Hakikatnya, tiada siapa tahu agenda sebenar di sebalik pemergiannya sehinggalah dia pulang mengumumkan sudah berkahwin dengan lelaki pilihannya, warga AS.

Bijak benar Jaclyn Victor atau Jac, 35, membuat perancangan itu apabila setahu penulis dia ke situ atas urusan kerja. Tentu sekali tiada timbul langsung rasa sangsi apatah lagi sebelum ini pun dia sendiri menyatakan mahu cuba nasib di sana pula.

Ternyata semua peminat pasti tumpang gembira dengan perkahwinannya bersama tidak lain tidak bukan anggota kumpulan R&B Az Yet iaitu Shawn Rivera, 40. Pernah berkolaborasi menerusi sebuah lagu berjudul Magical Moment tahun lalu, siapa tahu pada masa sama mereka rupanya menyulam cinta selama ini.

Bukan sekadar untuk melangsungkan majlis serba kecil dan hanya dihadiri 35 ahli keluarga terdekat itu, namun Jac sebenarnya memang ke sana atas agenda seni juga. Dia mengakui sudah merancang kunjungan itu untuk melakukan kedua-dua agenda terbabit dalam tempoh masa tiga minggu saja.

Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan itu, Jac juga mengakui agak ralat apabila agenda kerjanya kurang tercapai apabila hanya seminggu saja masa diberikan. Sepatutnya, pada perancangan awal, dia diberikan tempoh sebulan untuk urusan itu, namun akhirnya dipendekkan kepada satu minggu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:00 AM