Jaclyn Victor
Jaclyn Victor
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Jaclyn Victor, 44, percaya penyanyi Budak Baru Nak Up (BBNU) harus memiliki corak nyanyian yang setimpal untuk sesebuah persembahan di pentas besar.

Jaclyn atau Jac, memang senang sekali penyanyi muda sekarang buat lagu tapi apabila menyanyi depan khalayak, mereka tiada kelantangan yang jelas meskipun nyanyiannya sedap.

"Tak payah keluarkan album, tanda tangani syarikat rakaman, sangat senang, cuma keluarkan lagu di YouTube. Bila sudah jadi sangat senang, berduyun bakat muncul di luar sana.

"Tempoh hari, saya ada buat program BBNU, ramai yang datang khabarnya sangat meletup di TikTok. Tapi, ada budak-budak yang nyanyi tapi tiada projeksi dan kelantangan suara.

"Mereka nyanyi ringan-ringan saja. Sedap, tapi macam tak dengar. Sepatutnya nyanyian itu kena sampai, tak semestinya nyanyi nada tinggi saja, tapi kelantangan perlu ada," katanya.

Penyanyi Gemilang itu berharap penyanyi BBNU harus tahu membezakan antara nyanyian suka-suka dengan corak persembahan apabila berada di pentas besar.

Jac akur sekarang zaman sangat berbeza buat penyanyi generasi baharu. Bantuan teknologi pesat sangat memudahkan mereka tapi baginya ada kebaikan dan keburukan.

"Tapi sisi positif pula, kita dapat mencungkil bakat yang sangat banyak. Tak semestinya mereka perlu hadir uji bakat, tak semestinya untuk jadi popularlah.

"Sisi negatif pula, mungkin penyanyi itu memiliki ramai peminat tapi bakatnya tidak setimpal. Tapi itulah hakikat yang berlaku sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 2:20 PM