JACLYN dan suami saling menyokong karier masing-masing.
JACLYN dan suami saling menyokong karier masing-masing.
KETUA Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman A Halim menyerahkan replika piring hitam Unleashed kepada Jaclyn.
KETUA Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman A Halim menyerahkan replika piring hitam Unleashed kepada Jaclyn.
Oleh Norhayati Nordin

Memahami tuntutan karier masing-masing membuatkan penyanyi terkenal, Jaclyn Victor perlu berjauhan seketika dengan suaminya Shawn Rivera yang pulang semula ke Amerika Syarikat (AS).

Shawn yang juga salah seorang anggota kumpulan Az Yet terpaksa pulang ke AS hujung Oktober lalu kerana terikat dengan jadual promosi album baru kumpulannya.

Berpaksikan situasi sama, Jaclyn, 35, yang kini bernaung di bawah KRU Music juga muncul dengan album Inggeris sulung, Unleashed. Ditemui selepas pelancaran album Unleashed, baru-baru ini, Jaclyn berkata, dia dan suaminya saling memahami serta menghormati tuntutan karier diceburi.

"Saya tidak boleh mengikut suami kerana tuntutan kerja di sini. Apatah lagi, kerjaya nyanyian saya sudah 10 tahun bertapak di Malaysia. Jadi, sukar untuk saya meninggalkan negara ini begitu saja. Ditambah banyak perkara perlu saya fikirkan lebih dulu sebelum membuat keputusan," katanya.

Menurut juara Malaysian Idol musim pertama ini lagi, karier nyanyian yang sudah stabil membuatkan dia enggan berhijrah meninggalkan tanah air.

"Di sini (Malaysia), saya bukan sebatang kara. Saya masih ada ibu, keluarga dan sanak saudara yang memerlukan saya di sisi mereka. Apatah lagi, tuntutan karier nyanyian yang menjadi periuk nasi saya selama ini pun sudah kukuh bertapak di sini. Begitu juga dengan kelompok peminat saya.

"Justeru, rasanya tidak mungkinlah saya akan berhijrah mengikut suami ke AS dalam tempoh terdekat. Masih terlalu banyak komitmen perlu diurus,"katanya.

Menurut Jaclyn, meskipun dia dan suami berjauhan di antara dua benua, menerusi kecanggihan teknologi masa kini memudahkan perhubungan mereka.

Katanya, dulu pun sebelum mereka berkahwin, telefon dan Internet menjadi medan untuk mereka berkomunikasi. Jadi, hingga kini keadaan itu tidak berubah.

"Setiap hari, kami akan saling berhubung. Bahkan, apabila semua urusannya sudah selesai, Shawn akan pulang ke Malaysia. Kami juga akan meraikan sambutan Krismas bersama-sama pada 25 Disember nanti," kata Jaclyn yang turut menyumbangkan hasil penulisan liriknya dalam album Unleashed.

Mengharapkan peminat akan memberi sambutan baik terhadap album itu, Jaclyn berkata, Unleashed amat bermakna buatnya kerana penghasilannya cukup teliti dan berkualiti.

Memuatkan hanya enam lagu, antara single dimuatkan dalam Unleashed ialah Over And Over, Delirious, Pinnaacle, Sweeter Than A Dream, Remedy dan Magical Moment (duet bersama Az Yet).

10 tahun bina keyakinan tulis lirik

Menyumbangkan sentuhan lirik untuk tiga lagu dalam album ini, Jaclyn berkata, ia bukan perkara mudah baginya. Katanya keyakinan dikumpul dalam tempoh agak lama.

"Selama 10 tahun saya berusaha membina keyakinan diri untuk cuba menghasilkan lirik lagu sendiri. Syukur akhirnya saya berjaya juga melakukannya. Kalau sebelum ini saya tidak berani menyahut cabaran kerana berasakan bukan mudah untuk menghasilkan satu lirik lagu yang puitis. Saya juga bimbang peminat tidak dapat terima.

"Namun, dengan sokongan suami serta perbincangan bersama akhirnya saya mampu juga menghasilkan lirik untuk lagu sendiri. Apatah lagi, pembabitan saya dalam nyanyian pun sudah lama," katanya.

Mengakui satu kepuasan baginya apabila dapat menyumbangkan ilham dalam karya sendiri, Jaclyn berkata, kini dia tidak bimbang lagi. Ujarnya dia semakin bersedia.

Antara lagu yang liriknya hasil ilham Jaclyn dimuatkan dalam album Unleashed ialah Over And Over, Delirious dan Sweeter Than A Dream. Apapun, Jaclyn berkata, dia kagum dengan lirik ditulis Yusry A Halim.

Yusry menyumbangkan dua lirik lagu iaitu Remedy yang menjadi single pertama Jaclyn dan diikuti Pinnacle. Menurut Jaclyn, penulisan lirik Yusry begitu indah dan puitis.

"Ketika mula-mula mendapat lirik lagu Remedy ditulis Yusry, ia sedikit sebanyak membuatkan saya berasa kurang yakin. Saya fikir, lirik lagu yang dihasilkan nanti tidak bagus.

"Namun, sangkaan saya meleset selepas cuba menulis lirik sendiri. Sebagai penyanyi lama, sudah tiba masanya saya beranikan diri untuk bangkit menghasilkan lirik sendiri.

"Walaupun mungkin tidak sebagus lirik Yusry, sekurang-kurangnya saya sangat gembira kerana sudah cuba melakukannya. Bahkan, saya pun teruja dengan lirik diilhamkan," katanya

Turut bersikap terbuka tatkala berbicara soal cahaya mata, Jaclyn berkata, dia dan suami tidak pernah membuat perancangan. Ujarnya, urusan zuriat biar Tuhan tentukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:01 AM