PENDUDUK kampung yang cedera dirawat di hospital. - EPA
PENDUDUK kampung yang cedera dirawat di hospital. - EPA
AP

Jolo (Filipina): Sekurang-kurangnya empat maut dan 23 cedera dalam serangan bom tangan di selatan Filipina dipercayai bermotifkan dendam kerana pertelingkahan mengenai telefon bimbit.

Jurucakap tentera Kolonel Cirilito Sobejana berkata, penyerang terbabit ditahan susulan letupan lewat Sabtu berkenaan di perkampungan Busbus berhampiran lapangan terbang tempatan di Jolo, wilayah Sulu.

Menurutnya, penyerang dikenali sebagai Sedimar Rabbah itu kembali ke situ untuk membalas dendam selepas dibelasah teruk sekumpulan lelaki kerana dituduh mencuri telefon bimbit.

Katanya, walaupun kejadian tidak nampak seperti ada kaitan dengan militan Abu Sayyaf, pihak berkuasa masih menyiasat untuk memastikan perkara itu.

Sulu yang terletak kira-kira 950 kilometer di selatan Manila antara wilayah termiskin Filipina walaupun kaya sumber asli dan terkenal dengan keindahan pantainya.

Kawasan itu juga sering melihat kejadian culik, bom dan pembunuhan oleh Abu Sayyaf, selain pemilikan senjata api haram yang berleluasa membabitkan pelbagai puak bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 11:14 PM