MAYAT seorang militan Abu Sayyaf yang ditembak mati dalam pertempuran di Pulau Bohol, kelmarin.  - AFP
MAYAT seorang militan Abu Sayyaf yang ditembak mati dalam pertempuran di Pulau Bohol, kelmarin. - AFP
Agensi

Manila: Seorang anggota tentera Filipina yang diculik minggu lalu di selatan negara itu oleh militan Abu Sayyaf ditemui mati dipenggal.

Mayat Sarjan Anni Siraji dari Batalion 32 Infantri ditemui di bandar Patikul di Sulu, beberapa jam selepas tentera kerajaan menembak mati tiga lagi anggota kumpulan berkenaan dalam pertempuran di tempat lain.

Kepala Anni ditemui kira-kira 50 meter dari mayatnya.

Ketua tentera wilayah Sulu, Brigadier Jeneral Cirilito Sobejana berkata, Anni mungkin diculik dan dipenggal kerana pembabitannya dalam usaha damai di Sulu.

“Dia terbabit dalam usaha damai. Walaupun menjadi tentera, dia tidak terbabit dalam pertempuran. Kami menggunakannya untuk berunding kerana dia bangsa Tausug, sama seperti kebanyakan militan Abu Sayyaf,” kata Sobejana.

Terdahulu, kerajaan Filipina mengumumkan tenteranya menembak mati tiga lagi militan Abu Sayyaf di Pulau Bohol, tempat mereka bersembunyi selepas gagal menculik pelancong di pulau peranginan itu.

Jurucakap tentera berkata, tiga militan itu mati dalam pertempuran kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 8:54 AM