KEADAAN selepas insiden pengeboman di Jolo. FOTO AFP
KEADAAN selepas insiden pengeboman di Jolo. FOTO AFP
AFP

Manila: Dua pengebom berani mati melakukan serangan bom di selatan Filipina yang membunuh 14 individu dan mencederakan puluhan mangsa.

Perkara itu disahkan Komander Tentera Filipina Leftenan Jeneral Cirilito Sobejana, hari ini.

Serangan semalam adalah paling buruk tahun ini dan berlaku di Pulau Jolo di mana pasukan keselamatan memerangi kumpulan militan Abu Sayyaf sejak sekian lama.

Untuk rekod, letupan pertama mulanya disangka bom buatan sendiri yang diletakkan pada sebuah motosikal.

Ia disusuli sejam kemudian oleh seorang pengebom bunuh diri wanita meletupkan bahan letupan pada badannya.

Lapan anggota pasukan keselamatan dan enam penduduk awam terbunuh dalam letupan terancang itu. Mangsa yang cedera pula termasuk 48 orang awam, 21 askar dan enam anggota polis.

Cirilito Sobejana berkata, keterangan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan bom pertama diletupkan pengebom berani mati.

"Perkara ini sudah disahkan," katanya.

Biarpun belum ada pihak mengaku bertanggungjawab tetapi pihak berkuasa Filipina mendakwa kumpulan Abu Sayyaf dipercayai mendalangi pengeboman berkenaan.

Sobejana berkata, undang-undang tentera akan dikuatkuasakan bagi mengembalikan situasi normal dan supaya pihaknya dapat mengawal pergerakan orang ramai.

Letupan semalam berlaku berhampiran gereja Katholik di Jolo di mana dua pengebom berani mati meletupkan diri pada Januari 2019, menyebabkan 21 terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 11:15 PM