PEGAWAI tentera berbual dengan dua lelaki Indonesia yang dirawat di hospital di Jolo selepas diselamatkan daripada tawanan Abu Sayyaf semalam. - Reuters
PEGAWAI tentera berbual dengan dua lelaki Indonesia yang dirawat di hospital di Jolo selepas diselamatkan daripada tawanan Abu Sayyaf semalam. - Reuters
Reuters

Jolo: Tentera menyelamatkan dua tebusan warga Indonesia semalam selepas satu pertempuran di selatan Filipina yang menyebabkan lima militan Abu Sayyaf terbunuh, kata tentera.

Jurucakap tentera, Brigadier Jeneral Cirilito Sobejana berkata, lima askar juga cedera dalam pertempuran dengan kira-kira 20 anggota Abu Sayyaf di Jolo.

“Beberapa minit kemudian ketika memburu militan yang melarikan diri, askar memintas sebuah van yang membawa dua tebusan berkenaan.

“Mereka kini berada dalam keadaan sihat dan diberi taklimat selepas membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki itu diculik dari sebuah bot nelayan Malaysia pada November lalu di perairan berhampiran Sabah.

Kumpulan Abu Sayyaf adalah kumpulan pemberontak yang terkenal dengan aktiviti menculik terutama warga asing untuk mendapatkan wang tebusan.

Kumpulan itu juga sangat kejam apabila memenggal kepala tebusan sekiranya wang tebusan tidak dibayar.

Abu Sayyaf dipercayai masih menawan 18 tebusan di Jolo dan Basilan termasuk dari Malaysia, Indonesia, Jepun, Belanda dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 5:40 AM