MADU menjadi platform kepada pelajar Taylor’s College Sri Hartamas memperkasakan kemahiran dan mempertingkatkan pembelajaran menerusi khidmat komuniti.
MADU menjadi platform kepada pelajar Taylor’s College Sri Hartamas memperkasakan kemahiran dan mempertingkatkan pembelajaran menerusi khidmat komuniti.
Ruhaiza Rusmin


Taylor’s College’s Sri Hartamas menganjurkan program pembelajaran Make A Difference United (MADU) bersama masyarakat Orang Asli di Pos Slim, Perak, baru-baru ini, dalam usaha meningkatkan pengetahuan pelajar daripada masyarakat berkenaan.

Digelar Project Indigenous, inisiatif berkenaan membabitkan 17 pelajar dan dua tenaga pengajar Taylor’s College Sri Hartamas dan dilaksanakan dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA).

Program tiga hari dua malam itu membolehkan peserta mendekati golongan dewasa dan kanak-kanak kampung berkenaan selain membantu mereka memahami keperluan pendidikan.

Pengarah Kampus Taylor’s College Sri Hartamas Anandakumaresh Ratnasingam berkata, inisiatif yang dilaksanakan untuk jangka panjang bagi membantu masyarakat Orang Asli memperbaiki taraf hidup menerusi pendidikan.

“Pada masa sama, kami harap mendapatkan sokongan korporat lain untuk menyalurkan sumbangan kepada komuniti Orang Asli, sekali gus membantu lebih ramai pelajarnya ke sekolah dan mendapat peluang pekerjaan.

“Kami berbangga melihat pelajar terbabit berusaha membuat perubahan dalam komuniti mereka.

“Di Taylor’s College, kami bukan sekadar memberi tumpuan terhadap kecemerlangan akademik, malah menggalakkan pemikiran terbuka dan bertimbang rasa serta keyakinan untuk mewujudkan individu holistik,” katanya.

Program MADU yang dimulakan pada 2009 antara usaha kolej berkenaan memperkasa pelajarnya untuk menjadi pemimpin dan ahli masyarakat produktif yang memberi sumbangan dalam mempertingkatkan taraf kehidupan masyarakat sekitar.

Penyertaan dalam projek itu memberi peluang kepada pelajar mempertingkatkan pembelajaran serta kemahiran kepemimpinan dengan menggabungkan prinsip 5C Taylor’s College iaitu ‘collaboration’ (kerjasama), ‘creative thinking and problem solving’ (pemikiran kreatif dan penyelesaian masalah), ‘communication’ (komunikasi), ‘creativity and innovation’ (kreativiti dan inovasi) serta ‘cultural adaptation’ (penyesuaian budaya).

Pelajar turut meneroka budaya Orang Asli dengan berinteraksi bersama mereka menerusi permainan, seni, berkhemah dan mengajar permainan pendidikan kepada kanak-kanak bagi meningkatkan kemahiran komunikasi masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 6:31 AM