DR Mohd Shukri (duduk tengah) bergambar bersama kakitangan, pelajar dan peserta program MSU My City My Community 2022.
DR Mohd Shukri (duduk tengah) bergambar bersama kakitangan, pelajar dan peserta program MSU My City My Community 2022.
Suliati Asri


MSU College Sarawak baru-baru ini menganjurkan program jalinan komuniti MSU My City My Community 2022 bertempat di Kuching Waterfront bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara warga kolej dan komuniti luar kampus.

Program yang turut mendapat sokongan Majlis Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu adalah selari dengan hasrat pihak kolej dalam menyokong inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang memfokuskan kelestarian serta kesejahteraan sejagat yang memberi manfaat kepada kumpulan sasar yang terbabit.

Empat matlamat yang difokuskan ialah SDG 3 Kesihatan dan Kesejahteraan, SDG 4 Pendidikan Berkualiti, SDG 11 Bandar dan Komuniti Yang Mampan dan SDG 17 Kerjasama Demi Matlamat.

Acara perasmian disempurnakan Presiden Management & Science University (MSU), Profesor Tan Seri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid. Hadir sama pegawai pengurusan kanan kolej, kakitangan, pelajar serta tetamu jemputan.

Program terbabit memfokuskan lima aktiviti utama iaitu menerusi MSU My City, pelajar bergotong-royong membersihkan sampah sarap di sekitar kawasan Kuching Waterfront sebagai usaha menyokong kempen kesedaran reduce, reuse, recycle atau 3R.

Aktiviti MSU My Race membabitkan penyertaan seramai 100 pelajar dari sembilan sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia, SMK Tun Abdul Razak, SMK Agama Tun Ahmad Zaidi, SMK Bandar Samariang, SMK Sains Kuching Utara, SMK Kota Samarahan, SMK Muara Tuang, SMK Wira Penrissen dan SMK Green Road.

MSU My Care pula adalah penyampaian sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas kepada 60 keluarga kategori B40 dari 20 kampung di sekitar Kuching.

Menerusi aktiviti larian amal tiga kilometer menerusi My Fit pula, ia membabitkan penyertaan seluruh warga kolej dan turut disertai ahli-ahli dari Persatuan Autisme Malaysia dan Lembaga Kebajikan Anak-anak Yatim Sarawak (Peryatim).

Akhir sekali, MSU My Step Up iaitu aktiviti senamrobik dan zumba bersama anggota Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, Cawangan Sarawak.

Secara keseluruhannya, usaha berterusan pihak kolej dengan mempelbagaikan aktiviti berteraskan kesukarelawan dan jalinan komuniti dengan menggalakkan penyertaan pelajar, diharap dapat memperkasakan kemahiran pelajar dan meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 6:20 AM