Syanty Octavia Amry


Petaling Jaya: Nora Ariffin dan suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, sebenarnya merancang hendak meraikan ulang tahun ke-25 perkahwinan mereka, April ini.

Nora, 43, berkata, rancangan itu hendak diadakan pada pada 9 April ini.

"Kami merancang mengadakan persembahan meraikan majlis ulang tahun itu.

“Arwah suami bercadang untuk memakai tuksedo manakala saya mahu memakai gaun rekaan Azura Couture.

“Tujuannya hanya ingin untuk mengenang kembali saat-saat indah di awal perkahwinan kami. Namun tak sangka dia pergi tiba-tiba," katanya.

Berkongsi peribadi Johan, Nora berkata, arwah suaminya seorang yang baik dan tidak ada siapa yang mampu menggantikan tempatnya.

"Dia adalah sebaik-baik suami dan ayah buat kami semua. Mati hidup semula saya tidak mungkin dapat bertemu pengganti sama sepertinya.

"Walaupun sedih dan terkejut, saya reda dengan pemergiannya dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," katanya.

Jenazah Johan disembahyangkan di Masjid Ar-Rahman Kampung Tunku, pada sebelah pagi, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat, hari ini.

Pasangan ini dikurniakan empat anak iaitu Mohd Syakir Iman, 24; Mohd Syakir Alif, 19; Putri Nur Dahlia, 13; dan Putri Nur Fatehah, 5.

Allahyarham Johan, meninggal dunia di pusat perubatan, kira-kira 6.30 pagi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 1:54 PM